Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner tidak terganggu dengan satu gol dibolosi lawan sebaliknya lebih fokus kepada empat jaringan yang telah diraih untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC 4-1 dalam aksi Liga Super, semalam.

Beliau menjelaskan anak buahnya lebih fokus kepada aspek menyerang kali ini bagi memburu jaringan dan enggan meletakkan kesalahan kepada pemain apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya menghasilkan gol sagu hati pada penghujung perlawanan.

Baginya, kemenangan sulung yang diraih pasukan amat penting selepas berdepan keputusan seri dalam dua perlawanan terdahulu sambil menyifatkan momentum kemenangan seperti ini yang perlu dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

ā€œSaya gembira dengan persembahan pasukan dan mereka telah mencipta banyak peluang untuk membunuh aksi lawan dan secara keseluruhan prestasi yang cemerlang telah ditampilkan pemain.

ā€œSaya tidak terganggu (dengan gol bolos) sebab kita memang mahu menyerang dan saya ambil risiko daripada segi pertahanan jadi saya tidak menyalahkan sesiapa dan pemain memang mencipta peluang di depan.

ā€œUntuk saya, kami menikmati dengan empat jaringan ini dan macam saya cakap, kita tidak hanya bertahan sepanjang masa sebab kita mahu menyerang, jadi risiko ini yang perlu diambil.

ā€œBagi saya, daripada awal musim lagi Selangor diletakkan sasaran tinggi dalam kalangan penyokong dan tekanan sememangnya tinggi untuk pemain, kita ada membuat kesilapan juga tetapi secara keseluruhan hari ini (semalam), mereka telah memberikan yang terbaik meskipun dalam tekananā€, jelasnya.

Sementara itu, pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak pula mahu pasukan segera melupakan kekalahan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sambil menyifatkan Selangor beraksi dengan lebih baik semalam untuk meraih tiga mata.

ā€œKita tidak melakukan tugas yang baik di bahagian pertahanan dan akhirnya menghukum kita tetapi pasukan dapat melakukan dengan lebih baik di separuh masa kedua.

ā€œPemain berjaya mendominasi dan cuba untuk memburu gol, tetapi mereka (Selangor) terus menghukum kita dengan gol ketiga dan keempat, jadi ini yang kita perlu belajar dan lupakan apa yang berlaku di sini.

ā€œKita kena akui bahawa Selangor beraksi dengan lebih baik, jadi saya ambil tanggungjawab atas kekalahan ini dan ia bukan persembahan terbaik daripada kami di bahagian pertahananā€, katanya.

Keputusan semalam menyaksikan Selangor akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama sekaligus lebur rekod tanpa kalah Kedah sejak tiga perlawanan lepas.

Dalam dua lagi perlawanan yang berlangsung semalam pula menyaksikan Johor Darul Taā€™zim (JDT) menang 2-1 ke atas Terengganu FC manakala Sarawak United FC pula tewas 0-1 kepada Sabah FC.

- Advertisement -