Penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman mengakui sukar untuk menembusi sehingga sembilan pemain di benteng pertahanan PJ City yang menyaksikan mereka tewas 0-3 dalam aksi Liga Super pada Rabu lalu.

Pemain dari Liberia ini menyifatkan PJ City begitu kebal di barisan pertahanan tanpa langsung memberi peluang kepada mereka untuk menembusi gawang gol dan akhirnya pulang tanpa sebarang jaringan.

Nyata, kekalahan ini memberi banyak pengajaran kepada Terengganu dan perlu perbaiki segala kelemahan.

“Memang sangat kecewa apabila tewas 0-3 apatah lagi ini adalah perlawanan pertama kami untuk musim ini.

“PJ city bermain hampir lapan hingga sembilan pemain di bahagian pertahanan dan kami susah nak menembusi mereka, jadi kami hilang peluang dan tewas.

“Selepas berakhir perlawanan, jurulatih (Nafuzi Zain) terus memberikan semangat dan motivasi kepada kami untuk terus bangkit dan kena belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan malam ini (Rabu).

Sementara itu, penyerang PJ City FC, Darren Lok yang menjadi wira pasukan melakar hatrik untuk menewaskan Terengganu menganggap satu pasukan wajar diberi pujian atas kemenangan tersebut.

Apa yang penting, dia gembira apabila dapat membantu sambil mengharapkan aksi konsisten ini dapat kembali membuka peluang untuknya dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Semestinya gembira apabila dapat melakukan hatrik tetap saya lebih puas dengan tiga mata yang diraih dan saya rasa pasukan lebih layak untuk terima pujian.

“Dan sudah tentu saya kecewa apabila sudah dua kali (digugur dari skuad kebangsaan) jadi saya harap kalau dapat teruskan aksi begini, saya dapat dipanggil kembali”, katanya.

- Advertisement -