Kedudukan dalam saingan 100PLUS Liga Premier bakal menyaksikan perubahan setelah Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Amin mengesahkan semua keputusan perlawanan membabitkan pasukan Kuantan FA tidak akan dikira.

Kuantan FA yang berdepan masalah kewangan kritikal telah digugurkan penyertaan mereka dari saingan musim ini oleh Malaysia Football League (MFL) pada Jumaat di atas salah laku melanggar peraturan pertandingan dan perlembagaan apabila tidak hadir untuk aksi Liga Premier menentang PDRM pada 15 April lalu tanpa memaklumkan sekretariat MFL.

Justeru, ini bermakna Felda United, Sarawak dan PDRM yang menang ke atas mereka bakal ditolak tiga mata, manakala tiga lagi pasukan iaitu Uitm FC, Pulau Pinang dan MIFA akan pula kehilangan satu mata.

Tatkala kedudukan Felda bimbingan B.Sathianathan yang mengumpul 19 mata tidak terusik dengan keputusan itu, Sarawak (14 mata) paling terjejas apabila bakal tercicir dua anak tangga ke tangga keempat manakala PDRM (8 mata) bakal kembali menghuni tangga kedua tercorot.

Tanpa Kuantan FA, saingan Liga Premier yang sudah berlangsung tujuh perlawanan akan diteruskan dengan 11 pasukan dan Hamidin berkata kenyataan rasmi berhubung perkara ini akan dimaklumkan MFL dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Hamidin turut menegaskan bahawa FAM mahupun MFL tidak akan bersikap ‘tutup mata’ dengan nasib para pemain dan barisan kejurulatihan Kuantan FA yang berdepan masalah tunggakan gaji hampir empat bulan dan akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin.

“MFL telah pun membantu dengan membayar gaji sebulan bagi musim ini menerusi potongan dari geran tahunan yang diperuntukkan kepada mereka. Kita akan bantu selesaikan sebahagian tunggakan gaji dari baki geran tahunan itu, pemain dan pegawai boleh membuat tuntutan kepada MFL dan jawatankuasa status FAM akan mengambil tindakan susulan,” ujar Hamidin. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -