Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya telah mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.
Pengiktirafan FIFA ini sudah tentu merupakan satu kebanggaan kepada negara kerana Malaysia merupakan antara 68 negara yang mana FIFA telah memberi kelulusan untuk penggunaan teknologi VAR.
Delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR.
Di sepanjang seminar VAR telah dijalankan selama enam hari itu, sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bagi tujuan tersebut.
Pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super. Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025.
Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini.
Mengimbas kembali permulaan VAR di negara ini, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin pada Februari 2023 telah mencetuskan idea dan inisiatif untuk memperkenalkan VAR di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025 dan ia telah mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM dan kepimpinan tertinggi MFL.
Datuk Haji Hamidin kemudian telah bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina ketika beliau menghadiri Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda pada 16 Mac 2023 bagi membincangkan secara lebih lanjut mengenai perkara-perkara membabitkan teknologi VAR.
Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia telah dimulakan pada April 2023 dengan lawatan delegasi dari FIFA untuk memberi taklimat tentang protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.
Seterusnya FAM telah memulakan latihan pengadil VAR yang bermula pada Jun 2023 hingga April 2024 dengan melalui tiga fasa latihan.
Hasilnya, FIFA telah mentauliahkan seramai 22 Pengadil sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil sebagai AVAR dan sembilan Pengadil sebagai Replay Operator.
FAM juga turut melatih seramai 17 Penolong Pengadil untuk memahami protokol VAR dan akan dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.
Sebagai langkah jangka panjang pula, FAM akan meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran VAR. FAM turut akan membuat post-mortem perlawanan (post match review) sebagai langkah pengkukuhan dan pemurnian pendidikan VAR.
FAM juga akan memulakan latihan VAR fasa kedua untuk menambahkan lagi bilangan pengadil-pengadil VAR. Usaha ini akan dimulakan dalam masa terdekat ini.
Ini membuktikan bahawa Datuk Haji Hamidin dan FAM sangat komited dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi pengadil-pengadil bola sepak di negara ini.
Sebagai rumusan, pelaksanaan VAR di Liga Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengadil-pengadil kita dipilih untuk bertugas di peringkat AFC dan FIFA.
Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga diharap akan mampu meningkatkan mutu bola sepak negara amnya. – www.fam.org.my