Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong membariskan sehingga tujuh pemain muda berusia bawah 22 tahun dalam senarai 16 pemain yang dipanggilnya untuk kem latihan pusat skuad futsal Harimau Malaysia.

Chun Yong sedang mempersiapkan pasukannya sejak 22 Disember lalu bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Thailand dari 23 hingga 29 Januari 2017 depan.

Tujuh pemain berkenaan ialah Azri Rahman (Felda United) dan Ridzwan Bakri (Sabah) masing-masing berusia 22 tahun, Syed Aizad Daniel Syed Nasir (MPSJ) berusia 20 tahun, tiga pemain berusia 19 tahun iaitu Aidil Shahril Rosli (MPSJ), Amirul Sugito (Kuala Lumpur) dan Ikhmal Firdaus (PBMM) serta Mohd Awalludin Mat Nawi (Perak) berusia 18 tahun.

Amirul dan Awalludin dipanggil menggantikan tempat dua pemain Selangor, Mohamad Fadzil Ab Karnim dan Mohd Ridhwan Zainal manakala Ikhmal dipanggil menggantikan Nik Akif Syahiran Nik Mat, 17, yang telah menyertai pasukan bola sepak Piala Belia FELDA United FC.

“Pertukaran yang saya lakukan ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan masa depan pasukan. Saya tidak mahu menggunakan majoriti pemain senior kerana mengikut perancangan, saya mahu gabungan pemain senior dan muda dalam pasukan ini.

“Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita melakukan perubahan dengan memberi lebih peluang kepada pemain-pemain muda. Saya memerlukan pemain yang lebih pantas kerana strategi saya lebih banyak menerapkan ‘high pressing’ dan ‘high intensity’, bukannya ‘zonal marking’,” kata Chun Yong, hari ini.

Selain tujuh pemain muda berkenaan, baki sembilan pemain lain terdiri daripada Awaluddin Hassan, Khairul Effendy Mohd Bahrin, Saiful Aula Ahmad (Selangor), Azrul Hadee Mohd Taufiq, Saiful Nizam Mohamad Ali, Azwann Ismail, Abu Haniffa Hassan (Felda United), Firdaus Razali (MPSJ) dan Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang).

“Pemain-pemain senior yang dipanggil ini masih diperlukan khidmat mereka untuk membimbing para pemain muda. Ini kerana kita tidak mempunyai latihan secara konsisten. Jika kita ada tempoh latihan jangka masa panjang, saya rasa kita boleh senaraikan sehingga 80 peratus pemain muda dalam pasukan,” jelas Chun Yong.

Ditanya sasaran bagi kejohanan kali ini, Chun Yong berkata: “Setiap kali menyertai kejohanan, kita mesti menetapkan sasaran, tidak kiralah sama ada pasukan kita tidak melakukan persiapan rapi atau tiada saingan liga domestik buat masa ini. Kita tak boleh sekadar datang untuk mengambil bahagian.

“Jadi untuk kejohanan kali ini, sasaran kita ialah untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.”

Skuad futsal Harimau Malaysia bakal membuka kempen saingan Kumpulan B di Bangkok nanti bertemu Indonesia pada 23 Januari diikuti aksi kedua bertemu Laos (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar (25 Januari).

Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari.

- Advertisement -