Tempoh sebulan yang diminta oleh Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Adly Zahari untuk menyelesaikan krisis tunggakan gaji pasukan itu sudah berlalu, tetapi pemain-pemain masih menunggu janji untuk ditepati.

Adly pada bulan lalu berkata krisis kewangan persatuan itu berlaku disebabkan masalah berhubung tajaan dan berjanji dalam sebulan semuanya akan diselesaikan tetapi kini ia semakin tenat apabila dilaporkan sudah tiga buan pemain dan pegawai pasukan itu tidak bergaji.

Malah penyokong-penyokong setia pasukan juga mula menyuarakan kebimbangan mengenai perkara tersebut yang dikhuatiri akan menjejaska persiapan pasukan untuk musim baru.

Begitupun Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata masalah itu dalam keadaan terkawal dan menjelaskan persatuan berterusan berusaha mendapatkan dana dan menepis tanggapan MUSA bersikap lepas tangan.

“Kita sedang berusaha keras, perbincangan bersama penaja sudah berada di fasa akhir dan yakin semuanya akan selesai dalam tempoh terdekat. Kita juga telah adakan perbincangan dengan Presiden, Adly Zahari pada Sabtu dan semuanya nampak positif. Hanya tunggu sikit masa sahaja lagi.

“Kita sendiri tidak mahu isu ini berlarutan, bukan setakat tiga bulan, malah MUSA juga berusaha untuk memastikan gaji pemain sehingga November dijelaskan. Kita faham penyertaan MU di Liga Malaysia akan terjejas jika isu itu berlarutan ke musim depan,” katanya.

Melaka United adalah pasukan Liga Malaysia terbaru untuk dihimpit kemelut kewangan selepas Kelantan, Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Di sebalik kedudukan kantung yang tenat mereka antara pasukan yang rancak berbelanja ketika jendela perpindahan kedua pada Mei lalu dengan merekrut beberapa pemain baru seperti S.Veenod, Syahrul Azwari Ibrahim, Khairul Fahmi Che Mat, Faris Shah Rosli dan pemain import Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi.

Prestasi pasukan itu bagaimanapun tidaklah terjejas teruk meskipun tidak bergaji di mana mereka menamatkan Liga Super di tangga ketujuh malah masih mampu tampil bertenaga dalam saingan Piala Malaysia walaupun gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Skuad bimbingan E.Elavarasan itu yang sudahpun tersingkir dari saingan Piala Malaysia selepas tewas kepada PKNS FC bulan lalu menutup tirai aksi 2018 dengan cukup bergaya apabila membelasah Felda United 6-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Sabtu menerusi jaringan hatrik Ifedayo Olusegun, dua gol S.Chanturu dan satu oleh Yahor Zubovich. MUHD AIMAN 

- Advertisement -