foto – Malaysian Football League

Keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PNBP) yang menggantung bekas pemain import, Mohamadou Sumareh berkonsepkan mahu menegakkan benang yang basah atau membuktikan PBNP sememangnya mempunyai kuasa mutlak dalam bolasepak Malaysia?

Empat kesalahan dengan hukuman penggantungan dua tahun yang diutarakan oleh PBNP menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP Rizal Chek Hashim menyaksikan Sumareh digantung keseluruhan selama 8 tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Segalanya berlaku kerana PBNP yang gagal mengikuti kontrak pemain melunaskan gaji pemain pemain mengikut waktu yang telah ditetapkan.

Kenyataan yang dibuat Sumareh kepada media juga tidak menghina atau memburukkan mana mana pihak dan lebih bersifat neutral dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

Sumareh telah mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada FIFA selepas menggunakan klausa 8.7 untuk menamatkan kontrak bersama skuad Tok Gajah yang dikatakan gagal melunaskan tunggakan gajinya.

Namun PBNP menerusi laporan media tempatan menyangkal dakwaan itu sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama oleh kedua-dua pihak.

Jika isu tunggakan gaji tidak wujud atau mungkin sudah diselesaikan, PBNP mungkin boleh kemukakan bukti pembayaran yang telah dibuat untuk menafikan dakwaan Sumareh menggunakan klausa 8.7 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukan tidak membayar gaji lebih daripada satu kali.

Sumareh atau ‘Keli Boy’ didapati bersalah kerana membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran PBNP, yang telah melanggar artikel 61 kod tatatertib FAM, artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 Perlembagaan PBNP 2004.

Bagi pertuduhan kedua, pemain kelahiran Gambia berusia 26 tahun itu didapati telah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain kerana merujuk terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (Dispute Resolution Chamber), tanpa terlebih dahulu merujuk kepada FAM.

Pemain itu turut didapati gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama pasukan mulai 3 hingga 28 Ogos lalu dan pertuduhan terakhir ialah gagal menghadiri perlawanan Liga Super bertarikh 28 Ogos lalu antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim, yang merupakan pelanggaran artikel 5.1 kontraknya.

- Advertisement -