Oleh Muhammad Aiman

Kerja keras Dato’ Nicol David untuk menoktahkan kemarau kejuaraan Jelajah PSA selama 15 bulan akhirnya membuahkan hasil apabila dia merangkul Kejuaraan Terbuka Ciudad de Floridablanca di Colombia, awal pagi Ahad.

Bekas pemain nombor satu dunia itu melalui detik sukar dalam kariernya apabila bukan sahaja gagal meraih kejuaraan, tetapi turut gagal melangkah ke aksi final sejak kali terakhir melakukannya ketika menjulang Terbuka Hong Kong pada Disember 2015.

Deretan prestasi hambar turut menyaksikan Nicol tergelincir ke kedudukan ketujuh dunia sekaligus memberi bayangan era gemilangnya sudah tiba ke penghujung. Namun dia membuktikan sebaliknya. 

Pada aksi final yang berlangsung di gelanggang kaca terbuka, pemain berusia 34 tahun itu tidak bermasalah menewaskan pemain bukan pilihan dari Amerika, Olivia Blatchford 11-3, 11-4 dan 11-8 walaupun perlawanan terpaksa dihentikan selama 30 minit kerana hujan.

Ia adalah kejuaraan Jelajah PSA ke-81 buat juara dunia lapan kali itu dan suntikan motivasi terbaik buatnya bagi memburu kejuaraan Terbuka British yang dijadual berlangsung dari 22-26 Mac depan buat kali keenam.

Kali terakhir Nicol merangkul kejuaraan Terbuka British adalah pada 2014 dengan menewaskan pemain England, Laura Massaro di aksi final. 

- Advertisement -