Penundaan temasya Suykan Olimpik Tokyo 2020 membuka ‘pintu’ rezeki buat atlet yang sedang menjalani penggantungan akibat penggunaan bahan terlarang.

Ini kerana, sistem tempoh hukuman penggantungan yang dikenakan adalah berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan dan bukan atas kejohanan mahupun pertandingan.

Penggantungan yang dikenakan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) adalah bertujuan untuk mengelak atlet yang terlibat bertanding di mana mana kejohanan ketika tempoh kitaran sebelum temasya Olimpik bermula.

Mana mana atlet yang menjalani proses penggantungan dan bakal tamat dalam tempoh 2020 berkemungkinan berpeluang untuk beraksi di kejohanan besar tahun depan.

Rata rata atlet yang menjalani proses penggantungan adalah untuk tempoh empat tahun seperti yang telah ditetapkan oleh WADA.

Manakala yang bakal menjalani penggantungan selama empat tahun bermula tahun ini bakal terlepas dua edisi Olimpik iaitu Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan dan Paris 2024.

Disebalik pandemik Covid 19 yang sedang menular di serata dunia ketika ini sedikit sebanyak ‘mengganggu’ rutin harian agensi anti doping.

Ini kerana, mereka tidak dapat menjalankan sebarang ujian samada secara normal mahupun rawak ke atas atlet di negara masing masing berikutan arahan penjarakkan sosial serta perintah kawalan pergerakan yang berbeza beza sistem dan kaedah dikenakan bagi membendung penularan Covid 19.

Namun ia bukan ‘jalan penyelesaian’ buat atlet untuk melepaskan diri daripada ujian doping. sebaliknya agensi anti dadah akan terus memantau dan melakukan kajian melibatkan pelbagai aspek untuk memastikan ujian yang dilakukan memberikan hasil yang tepat demi memastikan sukan berlangsung dengan bersih dan tanpa penggunaan bahan terlarang.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan semua pemegang taruh yang terlibat dalam penganjuran Olimpik Tokyo 2020 memutuskan untuk menunda temasya itu ke Julai 2021.

Ia diputuskan pada penghujung Mac selepas mengambil kira faktor keselamatan bukan sahaja atlet dan pegawai, malahan komuniti sukan diseluruh dunia.

 

 

 

- Advertisement -