Gelaran dan status sebagai juara Liga Premier 2018 tampak melekakan Felda United untuk menghabiskan baki saingan sebelum kalendar ditutup sepenuhnya.

B Sathianathan hampir menaiki podium untuk menjulang trofi Liga Premier dengan kekecewaan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebelum mengikat Polis di Raja Malaysia (PDRM) dua sama.

Meskipun turun beraksi di laman sendiri tanpa sebarang tekanan, Felda United pastinya tidak mahu melengkakan baki perlawanan dengan noktah kekalahan.

Namun, aksi longlai yang dijelmakan pemain pemain The Fighters nyata mengejutkan B Sathianathan apabila gawang tuan rumah bolos dua kali dalam tempoh 21 minit.

Belum sempat memanaskan badan, serangan pantas PDRM yang disudahkan Mohd Arif Mat Asin dalam tempoh kurang seminit mengejutkan lebih seribu penyokong tuan rumah.

Arif sekali lagi menjadi duri dalam daging Felda United apabila meledak gol kedua untuk skuad kendalian Zulhamizan Zakariah selesa mendahului tuan rumah 2-0.

Semangat juang The Fighters kembali membara apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah di minit ke 36.

Thiago Augusto Fernandez tidak mensia siakan peluang untuk menewaskan Mohd Sheril Anuar Saini sekaligus mengurangkan defisit gol 1-2 pada babak pertama.

Perubahan corak serangan B Sathianathan di babak kedua nyata membuahkan hasil apabila Gilberto Valdenesio menjaringkan gol penyamaan untuk Felda United di minit ke 52.

Percubaan bertali arus daripada kedua dua pasukan berterusan hingga tamat permainan sekaligus kedua dua pasukan pulang dengan satu mata.

Sejurus perlawanan tamat, Felda United diraikan sebagai juara Liga Premier 2018

Hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam dan Pengurus Pengaktifan dan Penajaan 100PLUS, Engku Eisyamuddin Tuan Losin

 

- Advertisement -