Oleh Muhammad Aiman

Perkhabaran ceria dari kem olahraga negara apabila dua atlet baling tukul besi, Grace Wong Xiu Wei dan Jacky Wong masing-masing bukan sahaja memenangi pingat emas, tetapi turut memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Jeollanamdo, Korea Selatan pada Jumaat. 

Dalam acara baling tukul besi wanita, Grace Wong cemerlang memperbaharui rekod berusia enam tahun yang sebelum ini disandang Tan Song Hwa menerusi balingan sejauh 60.99m. Rekod terdahulu 58.71m dilakukan Song Hwa pada 2011 dalam satu kejohanan di Hungary.

Pingat perak dan gangsa bagi acara itu kedua-duanya menjadi milik atlet tuan rumah, Park Seo Jin (58.15m) dan Kim Hwi Su (51.06).

Jacky Wong pula memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara baling tukul lelaki menerusi balingan sejauh 64.55m, 0.05m mengatasi rekod berusia setahun miliknya sendiri yang dilakukan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang 2016.

Pingat perak dan gangsa bagi acara ini juga dimenangi oleh dua atlet tuan rumah iaitu Jang Dong Won dengan catatan 63.22m serta Yoon Seung Chan (57.70m).

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim menyatakan rasa terujanya dengan pencapaian terbaru ini dan berpendapat ia adalah suntikan terbaik buat skuad olahraga negara menjelang berlangsungnya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan.

“Bukan sahaja atlet tukul besi, tetapi prestasi atlet olahraga keseluruhannya meningkat dari hari ke hari. Ini membuktikan bahawa latihan dan pertandingan di luar negara mendatangkan hasil positif dan kita harap momentum ini dapat dikekalkan dalam pertandingan seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Karim menjelaskan Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan yang akan berlangsung pada minggu depan di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia akan menjadi platform buat Kesatuan Olahraga Malaysia memilih 92 atlet olahraga terbaik negara untuk beraksi di KL 2017. 

Dilaporkan, lebih 500 atlet telah mengesahkan penyertaan mereka di kejohanan selama dua hari itu.

- Advertisement -