hafizh-syahrin-at-the-czech-gp

Oleh Muhammad Aiman

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mensasarkan penamat gemilang bagi musim 2016 apabila turun beraksi di Grand Prix Valencia, Sepanyol hujung minggu ini.

Musim ini adalah yang paling memberansangkan buat Hafizh atau juga dikenali sebagai Pescao sepanjang tiga tahun pembabitannya dalam sukan permotoran kelas pertengahan, di mana dia berpotensi menamatkan musim dengan menduduki kelompok 10 teratas buat kali pertama.

Menuju ke saingan pusingan ke-18 yang juga penutup kalendar tahun ini, Hafizh berada di tempat kesembilan dalam carta kedudukan pelumba dengan 117 mata dan dia optimis dapat menyesuaikan diri dengan keadaan litar seterusnya tampil cemerlang sebaik sesi latihan bebas pertama bermula pada Jumaat.  

“Kami akan bekerja keras sepertimana biasa dengan menggunakan data yang telah dikumpulkan ketika sesi ujian di Valencia tahun lepas. Sepatutnya tiada masalah untuk melakukan set-up jentera yang terbaik lebih awal,” ujar pelumba Petronas Raceline itu.

Ketika perlumbaan pusingan ke-17 hujung bulan lalu di Litar Antarabangsa Sepang, Hafizh berkesudahan di tempat kelima dan motivasinya cukup tinggi untuk mencipta kejutan di Valencia meskipun mengalami kemalangan di litar sama pada tahun lalu.

“Saya terbabas seawal pusingan pertama tahun lalu, dan insiden itu masih segar dalam ingatan saya. Parut (kesan kemalangan itu) masih kekal di tapak tangan saya. Begitupun ia tidak menjejaskan tumpuan saya. Bagi saya, semua perlumbaan adalah sama penting malah motivasi saya lebih tinggi untuk melakukan lebih baik di sini kerana ini adalah perlumbaan terakhir musim ini,” kata Hafizh.

Sementara itu, pengurus pasukan Barry Leong pula melaungkan keyakinan terhadap kemampuan jentera Hafizh meskipun mengakui terdapat sedikit kebimbangan mengenai prestasi pelumba berusia 22 tahun itu yang mungkin masih dihantui kemalangan tahun lalu.

“Saya harap kemalangan yang berlaku pada tahun lepas tidak menganggu tumpuan dan prestasinya. Dia menampakkan keyakinan ketika sesi latihan yang lalu dan berharap dia akan dapat meneruskannya.

“Prestasi jentera semakin bagus dan lebih stabil secara keseluruhannya. Ia amat sesuai dengan kaedah tunggangan Hafizh. Kami jangkakan keputusan yang bagus dari perlumbaan ini jika semua berjalan lancar.”

- Advertisement -