Oleh Ku Mohd Lufti

Peringkat kedua jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi terus disajikan dengan kejutan dan kekecewaan khususnya pelumba Terengganu Cycling (TSG) Hariff Salleh.

Selepas dikecewakan dengan insiden kemalangan sekaligus terlepas peluang untuk meniki podium pada hari pertama, Hariff terpaksa akur menjadi pelumba pertama tersingkir daripada perlumbaan.
Hariff atau dikenali dengan Mamat sekali lagi terlibat dengan kemalangan diawal peringkat kedua dari Jerteh ke Gerik melibatkan laluan terpanjang, 208.1 Kilometer dengan tiga zon pecutan dan dua pendakian.
Ia sekaligus merencatkan usaha pakar pecut TSG, Anuar Manan yang tampak mahu meraih mata bagi merapatkan jurang mata dalam perebutan jersi Raja Pecut apabila hanya mampu meraih satu mata selepas menduduki tempat keempat di Machang.
Aksi rancak dengan breakaway lebih 10 pelumba pada kelajuan yang tinggi sebelum pendakian di Titiwangsa (CAT 1) dan Banding (CAT 3) menyaksikan pelumba pasukan Infinite AIS Cycling, John Ebsen berjayuh seorang diri untuk mengungguli dua pendakian ini sekaligus sah merampas jersi Raja Bukit daripada Nur Amirul Fakhruddin Mazuki daripada TSG.
Pelumba negara kelahiran Kelantan, Loh Sea Keong sekali lagiu mencuri tumpuan apabila meninggalkan peloton yang ketinggalan lebih lima minit dibelakang Ebsen untuk mengekori rapat pendahulu.
Selepas melepasi laluan mendaki, kelompok pendahulu bertambah kepada 14 orang tatkala perlumbaan berbaki 50 kilometer menuju penamat.
Peloton yang dipimpin pelumba Dimension Data merapatkan jurang masa dengan kelompok pendahulu dan beberapa lagi pelumba termasuk dua pelumba TSG, Nur Amirul dan Dadi Suryadi turut melakukan attack untuk bersama sama kelompok pendahulu.
Saingan semakin rancak di kilometer terakhir menghampiri penamat, menyaksikan aksi henjutan berlaku melibatkan pelumba United Healthcare Pro Cycling, Travis Mccabe, Filippo Pozzato (Willier Triestina) dan Ryan Gibbons (Dimension Data).
Tuah nyata lebih memihak Mccabe yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat untuk muncul pemenang peringkat kedua dengan catatan masa 5 jam, 4 minit 41 saat, Pozzato dan Gibbons akur untuk berada di tempat kedua dan ketiga.
Kemenangan Mccabe bagaimanapun tidak membawa sebarang makna, sebaliknya Ryan Gibbons menjadi perhatian di podium apabila menyarung jersi kuning selaku pendahulu selepas tamat dua peringkat perlumbaan dengan masa terkumpul, 7 jam 59 minit 13 saat, tiga saat mengatasi Mccabe.
Malah, pelumba kelahiran Afrika Selatan ini turut merampas jersi Raja Pecut, mengumpul 26 mata, lima mata didepan Mccabe manakala Raja Bukit, John Kronborg Ebsen mengumpul 21 mata, berkelebihan sembilan mata didepan Loh Sea Keong.
Pemilik Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia juga bertukar tangan, kini dimiliki pelumba pasukan Vino Astana Motors, Gidich Yevgeny.
Peringkat ketiga esok bakal melibatkan laluan di negeri Perak dimana perlumbaan bermula dari Serdang dan berakhir di Pantai Remis dengan jarak 118 kilometer, pastinya akan membuka peluang kepada pakar pakar pecut untuk merampas jersi Raja Pecut yang kini disarung Ryan Gibbons.
- Advertisement -