Oleh Muhammad Aiman

Pemain boling padang negara, Nor Hashimah Ismail terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang Piala Dunia Australia, setelah langkahan cemerlangnya tersekat di peringkat separuh akhir.

Aksi separuh akhir berlangsung pada Selasa menyaksikan juara dunia dalam dewan sebanyak empat kali, Jo Edwards dari New Zealand menafikan hasrat atlet veteran berusia 45 tahun itu untuk melakar kejutan. 

Hashimah tunduk kepada Edwards dengan keputusan 10-2, 9-5 dalam aksi di Warilla Bowls and Recreational Club, New South Wales itu. Di final, Edwards akan berdepan dengan Lucy Breere dari Guernsey yang mara setelah menundukkan Natasha Scott. 

Terdahulu pada Isnin, Hashimah melangkah ke separuh akhir setelah tampil cemerlang menewaskan pemain Filipina, Ronalyn Greenlees dengan keputusan 10-6, 8-5.

Malaysia masih mempunyai seorang lagi wakil untuk cuba merebut tempat di final apabila pemain perseorangan lelaki, Soufi Rusli turun menentang juara dunia 2008, Ali Forysth dari New Zealand pada Rabu.

Soufi mara ke separuh akhir setelah bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain Afrika Selatan, Pierre Breitenbach 3-12, 11-4, 3-1.

Satu lagi separuh akhir kategori perseorangan lelaki akan menemukan Ronnie Duncan dari Scotland dan Jeremy Henry dari Australia.

- Advertisement -