Pemain tengah PDRM FC, Hidhir Idris menyifatkan latihan secara Camp Based Training yang dilakukan ketika ini bukan sekadar fokus kepada latihan fizikal, tetapi turut sama membantu daripada aspek mental.
Bagi pemain muda berusia 24 tahun ini, kesihatan mental juga perlu dititikberatkan terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi mengelakkan pemain berdepan tekanan yang boleh menjejaskan prestasi mereka.
Justeru, dia bersama rakan-rakan sepasukan sentiasa mencari ruang untuk melakukan aktiviti lain selain latihan di padang bagi melepaskan sedikit tekanan apabila tidak boleh keluar daripada kem latihan selain perlu menjaga gelembung sukan.
“Bagi saya, kesihatan mental juga adalah penting dalam tempoh ini kerana kita semua ada keluarga, tambah-tambah kami di kem dan dengan wabak COVID19, kita mesti akan risau.
“Tetapi walaupun kami di kem, layanan semua baik antara satu sama lain dan dekat sini memang kita harmoni sebagai satu pasukan.
“Jadi, selain berlatih di padang, kita akan cuba juga cari aktiviti lain untuk menghiburkan diri supaya tidak rasa terkurung sangat dan dapat juga kurangkan tekanan yang ada.
“Macam saya, kami luangkan masa berborak, kadang-kadang bermain permainan video sama-sama, sebab itu tak rasa bosan sangat”, katanya.
Bercakap mengenai prestasinya, Hidhir yang dipinjamkan dari pasukan Kedah sejak pertengahan musim lalu mengakui prestasinya bertambah baik apabila bersama PDRM FC.
Dia setakat ini telah beraksi dalam 11 perlawanan dan berjaya meledak satu gol ketika berdepan Kelantan FC pada aksi ketiga Liga Premier sebelum ini.
Apa yang penting, Hidhir ingin membantu pasukan untuk layak ke pentas Piala Malaysia kerana kali terakhir berpeluang beraksi di saingan itu adalah pada tahun 2018 ketika bersama Kedah.
“Tahun ini saya dapat rasakan prestasi semakin meningkat kerana saya sentiasa diberi peluang untuk bermain dan saya kurang beraksi ketika di Kedah.
“Yang penting, dekat sini memang semangat lain sikit sebab kita tahu di PDRM, fasiliti semua semakin baik dan memuaskan dari segi bilik persalinan, pejabat dan sebagainya.
“Sasaran peribadi saya harap dapat bantu pasukan untuk sekurang-kurangnya raih tiga teratas liga dan paling penting layak ke Piala Malaysia”, tambahnya.
PDRM FC ketika ini berada di tangga kelapan Liga Premier selepas mengumpul 11 mata secara keseluruhan setakat ini.