Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan hukuman ke atas pemain import Kedah, Renan Alves dikekalkan sekaligus tidak akan beraksi di final Piala FA Sabtu ini.

Alves diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua ketika Kedah mengalami kekalahan menentang Felda United di pertandingan Liga Super sebelum ini.

FAM menerusi kenyataan yang dikeluarkan Setiausahanya, Stuar Ramalingam berkata, “Jika ingin dibuat perbandingan, situasi ini pernah juga berlaku atau dialami oleh beberapa pemain lain yang terlepas aksi final disebabkan kad merah diterima mereka pada perlawanan liga, antaranya seperti berikut:

i. Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2013 menentang Kelantan selepas digantung dua perlawanan kerana kad merah diterimanya ketika perlawanan Liga Super 2013 bertemu Lions XII, seminggu sebelum aksi final itu. Rayuannya telah ditolak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

ii. Pemain Liverpool, Luis Garcia dan pemain West Ham, Hayden Mullins kedua-duanya terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2006 selepas digantung tiga perlawanan akibat kad merah diterima mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris. Biarpun telah menjalani dua penggantungan pada perlawanan liga, mereka tetap perlu menjalani penggantungan perlawanan ketiga pada aksi final berkenaan. Rayuan kedua-dua pemain untuk beraksi pada final itu telah ditolak.

Artikel 40
Mengenai kes Renan Alves, Stuart turut merujuk kepada Artikel 40 (2) (a) dalam Kod Tatatertib FAM iaitu berkaitan ‘Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan’, di mana ia jelas menyatakan penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain bagi perlawanan terakhir pertandingan tersebut akan dibawa ke perlawanan rasmi pasukan/kelab yang seterusnya.

Artikel 40: Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan

2. Kecuali diputuskan sebaliknya oleh badan kehakiman, penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain di luar pertandingan (pertandingan berasingan) atau tidak dijalani ketika pertandingan tersebut di mana ianya ditujukan (pembatalan atau perlawanan terakhir bagi pertandingan tersebut) akan dibawa seperti berikut:

(a) Pertandingan-pertandingan FAM bagi pasukan dan kelab akan dibawa ke hadapan ke perlawanan rasmi pasukan atau kelab yang seterusnya,”kata Stuart.

- Advertisement -