Ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim melabelkan penyerang berpengalaman yang juga bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin, seperti diam-diam ubi berisi kerana merupakan seorang pendiam namun berbisa di atas padang.

Walaupun hanya sempat menjadi rakan sepasukan bagi setengah musim di Kuala Lumpur pada musim lalu, Azmi berasakan pengalaman beraksi dengan pemain berusia 39 tahun itu sebagai sesuatu yang sangat bermakna.

Jelas Azmi, komitmen yang lebih 100 peratus ditunjukkan Indra selain bijak membaca permainan menjadikan dia seorang pemain istimewa berbanding pemain-pemain lain.

“Sebelum ini saya mula mengenalinya ketika pernah bersama-sama dalam pasukan kebangsaan tetapi pada pengalaman pertama,saya lihat dia seorang yang tidak banyak bercakap.

” Namun lama kelamaan, saya dapati itu memang karakternya dan apabila kami bermain bersama, kerajinan Indra dia atas padang memang buat saya kagum serta luar biasa sama ada dalam latihan atau perlawanan sebenar.

” Satu lagi Indra ini cukup bijak dalam membaca permainan, yang mana dia boleh tempatkan dirinya di mana bola itu akan berada terutama dalam kawasan lawan.

” Mungkin itu sebab khidmat Indra masih ditagih oleh kebanyakan pasukan sehingga saat ini malah dia seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan pemain-pemain muda,” katanya.

Indra menjadi salah seorang pemain dalam Pilihan Best XI Azmi dalam formasi 4-1-4-1

Selain itu, Azmi turut memilih Farizal Marlias selaku penjaga gol diikuti Asraruddin Putra Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Ramez Dayoub dan Rizal Ghazali di barisan pertahanan.

Hariss Harun bertindak selaku pemain tengah yang berfungsi melindungi barisan pertahanan sementara pemain lain ialah Safiq Rahim, Ashari Samsudin, Baddrol Bakhtiar bersama Indra.

Bekas penyerang Kedah,MK Land dan Angkatan Tentera Malaysia ( ATM), Marlon Alex James menjadi pilihan Azmi selaku penyerang tunggal.

Dalam pada itu, Azmi menyifatkan Marlon sebagai penyerang yang sukar dicari di saingan Liga Malaysia kerana kualitinya yang menakjubkan di depan gawang lawan.

” Marlon ini saya ibaratkan kalau dapat peluang di depan pintu gol, sudah pasti dia akan buat jaringan kerana sentuhan penyudahnya amat berbisa.

” Saya juga jarang jumpa penyerang sepertinya kerana dia boleh merembat melalui kaki kiri dan kanan malah tandukannya cukup berbisa.

” Kualiti fizikalnya memang sempurna untuk menjadi seorang penyerang dan sebagai pemain pertahanan, saya akui susah untuk merantai pergerakan Marlon,” katanya yang pernah menjadi rakan sepasukannya pada musim 2012 di ATM.

- Advertisement -