Jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei tampil memperaga antara aksi terbaiknya selepas sekian lama apabila menjinakkan pemain nombor dua dunia dari Korea Selatan, Son Wan Ho pada Jumaat untuk mengesahkan tempat di separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Pada usia 35 tahun, Chong Wei membuktikan dia masih memiliki karakter sang juara apabila bangkit dari ketinggalan lapan mata, 3-11 di set kedua untuk mengesahkan kemenangan straight set 21-11, 21-12 di peringkat suku akhir yang berlangsung 37 minit di Hong Kong Coliseum, Kowloon. 

“Saya ingatkan perlawanan akan berlanjutan ke set penentuan (ketika ketinggalan jauh), namun saya tidak membiarkan tumpuan terganggu dan mengutip mata demi mata. Saya bermain tanpa tekanan dan menjadi bertambah yakin apabila Wan Ho mula melakukan kesilapan demi kesilapan.

“Saya berharap dapat mengulangi prestasi sama atau bermain lebih baik di peringkat separuh akhir nanti. Saya tahu ianya mungkin sukar tetapi saya akan cuba turun dengan persiapan mental dan fizikal yang terbaik untuk mara ke final sekali lagi selepas Terbuka Jepun (pada September),” ujar Chong Wei.   

Menanti bekas pemain nombor satu dunia yang tersingkir awal di tiga kejohanan berturut-turut sebelum ini – Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka China di separuh akhir pada Sabtu adalah bintang muda China berusia 21 tahun, Shi Yuqi.

Yuqi mara ke separuh akhir setelah bangkit mengetepikan rakan senegara yang juga juara dunia lima kali, Lin Dan 13-21, 21-17, 21-15 dalam satu lagi aksi suku akhir sekaligus menafikan pertembungan epik sensasi antara Chong Wei – Lin Dan. 

Jika berjaya menewaskan pemain nombor lapan dunia itu, Chong Wei akan semakin hampir untuk menokhtahkan kemarau kejuaraan selama lapan bulan selepas kali terakhir merasai nikmat bergelar juara ketika memenangi kejuaraan All England pada Mac lalu.

Untuk rekod, Chong Wei pernah menjulang gelaran Terbuka Hong sebanyak empat kali sebelum ini iaitu pada 2009, 2010, 2013 dan 2015. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -