Skuad olahraga negara acara lempar cakera menyuarakan keyakinan untuk mempertahankan pingat masing- masing di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), pertengahan Ogos ini.
Ketua jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Zainal Abas berkata Irfan Shamsuddin dan Yap Jeng Tzan sedang giat berlatih dan beliau yakin kedua atlet lepar cakera itu mampu mempertahankan pingat mereka.
“Bagi prestasi atlet lempar cakera, pada ketika ini mereka sedang giat berlatih untuk sukan SEA nanti dan saya percaya mereka mampu memberikan pencapaian terbaik,” katanya ketika ditemui di sidang media Program Kita Juara 2017 di Bilik Merak, Casa 1, Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini (2 Ogos).
Tambah Zainal, dia bagaimanapun tidak bimbang dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh kedua atlet itu kerana setiap atlet dipantau jurulatih mengikut jadual yang ditetapkan.
“Sekarang, apa yang jurulatih lakukan adalah memberikan mereka sedikit lagi loading dalam latihan. Saya serahkan kepada jurulatih untuk merangka pelan untuk mereka.
“Sejujurnya, saya yakin mereka dapat mengekalkan pingat yang mereka menangi di Sukan SEA Singapura 2015 sebelum ini,” katanya.
Bagi pencapaian semasa kedua atlet lempar cakera itu, Irfan Shamsuddin telah memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali dan beliau merupakan juara bertahan bagi acara itu.
Manakala bagi Yap Jeng Tzan, beliau merupakan pemenang pingat perak di kejohanan Sukan SEA Singapura dan ia merupakan kejohanan kali keempat bagi beliau. Pingat perak yang dimenangi itu juga merupakan pencapaian terbaik beliau.
Sementara itu, jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin berkata beliau bersemangat untuk beraksi kembali selepas mengalami kecederaan sebelum ini. 
“Kecederaan saya sudah semakin pulih dan setakat ini hari-hari saya telah jalani ‘physiotherapy’, jadi apa yang saya boleh katakan sekarang saya ada banyak ‘improvement’ dari sebelum ini.
“Walaupun terasa sedikit rasa sakit itu, namun ia tidak mempengaruhi prestasi saya nanti dan sebenarnya saya berasa semakin kuat di segi fizikal dan mental saya dan saya tidak sabar untuk beraksi di sukan SEA nanti,” katanya. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI
- Advertisement -