Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) mahu mewujudkan mahasiswa dan mahasiswi yang bergelar atlet kebangsaan meneruskan sesi pembelajaran secara fleksibel.

Mengakui jadual latihan yang padat, Naib Canselor UiTM , Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said menjelaskan UiTM sedang merangka satu perancangan pendidikan buat mereka menerusi penggunaan teknologi masa kini.

“Kini para atlet boleh belajar di mana sahaja seperti di dalam kelas mahupun di padang latihan dengan menggunakan sistem pembelajaran maya melalui MOOC, video kuliah termasuk bahan kursus dalam talian.”

Terdahulu Datuk Dr Hassan meluangkan masa bertemu 35 atlet UiTM yang akan menggalas cabaran ke Sukan SEA ke 29 yang akan bermula secara rasmi 19 Ogos depan.

35 atlet ini terdiri daripada sukan bolasepak, perahu layar, ragbi, sepak takraw, hoki, olahraga, petanque, boling padang, menembak, kriket, renang dan gimnastik.

Mereka juga menerima imbuhan berjumlah RM 200 seorang sebagai suntikan moral daripada UiTM untuk menghadapi Sukan SEA nanti.

Penglibatan barisan atlet ini jelas membanggakan UiTM kerana sejajar dengan matlamat institusi itu dalam melahirkan lebih banyak ‘thinking athlete’ yang bermutu untuk membawa prestasi sukan negara ke arah yang lebih baik. – OLEH NUR HAZWANI MOHD JEMAIN

- Advertisement -