Melaka United menghampiri pentas suku akhir Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun setelah menewaskan pasukan bermasalah, Kelantan 3-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Rabu.

Kali terakhir skuad bimbingan Eduardo Almeida itu beraksi di kelompok lapan terakhir adalah pada edisi 2007 yang mana ketika itu mereka tewas agregat 10-1 kepada Kedah yang kemudiannya muncul juara treble dengan menewaskan Perak dalam aksi final.

Menentang Kelantan, segalanya tampak mudah buat Melaka terutamanya di separuh masa pertama apabila mereka memanfaatkan sepenuhnya krisis keyakinan pasukan tuan rumah untuk merebut pendahuluan 3-0.

Pemain import dari Korea, Jeon Woo Young membuka jaringan seawal minit kelima setelah tandukannya gagal diselamatkan Ramadhan Abdul Hamid di gawang Kelantan. Woo Young sekali lagi mencetak nama selaku penjaring untuk menjadikan kedudukan 2-0, kali ini setelah menyempurnakan hantaran Felipe De Souza pada minit ke-30. 

Belumpun sempat sang kijang menyusun semula pertahanan, gawang mereka bergegar lagi dua minit kemudian setelah Marko Simic memanfaatkan kekalutan di depan pintu gol.

The Red Warriors kendalian Zahasmi Ismail cuba kembali dalam permainan apabila Khairul Izuan Rosli merapatkan defisit 1-3 pada minit ke-51 sebelum Mamadou Danso pula menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-86 namun jelas ianya sudah terlewat untuk menghalang Melaka membawa pulang tiga mata.

Dengan kemenangan ini, Melaka menduduki tangga kedua Kumpulan C dengan sembilan mata manakala Kelantan yang tewas buat kali kelapan dari 10 perlawanan terakhir pula di tempat ketiga dengan enam mata. Kedah yang sudahpun mara ke suku akhir menerajui kumpulan dengan 12 mata.

Dalam aksi tunggal Kumpulan D, Selangor yang memburu kemenangan bagi kembali merampas kedudukan teratas dari Johor Darul Takzim tewas 1-2 kepada Sarawak di Kuching.

Ia adalah kekalahan pertama skuad kendalian P.Maniam dalam saingan Piala Malaysia namun tidak menjejaskan kedudukan mereka yang sudahpun layak ke suku akhir.

Ugo Ukah menjaringkan gol pendahuluan Red Giants setelah menanduk masuk hantaran sepakan percuma Syahmi Safari pada minit ke-37 sebelum Sarawak bangkit dengan dua jaringan di separuh masa kedua menerusi Mateo Roskam dan Milos Raiskovic.

JDT dan Selangor masing-masing mengumpul 10 mata, namun Harimau Selatan mendahului kumpulan dengan beza jaringan manakala Sarawak yang mencatat kemenangan pertama mengumpul empat mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -