Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap lawan mereka, pasukan Kuching FA mampu menjadi duri dalam daging pada aksi pusingan pertama TM Piala Malaysia, malam esok.

Ini kerana, JDT belum pernah berdepan Kuching FA yang beraksi dalam saingan Liga Premier pada musim ini dan ia sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk membaca corak perlawanan skuad kendalian Akira Higashiyama ini.

Malah, Aidil turut menyifatkan pasukan itu pastinya mempunyai kekuatan tersendiri yang mungkin tidak dijangka untuk perlawanan pada malam esok dan untuk itu, dia tidak merasakan JDT berada di laluan mudah kerana sebagai pemain, mereka tidak pernah memandang rendah terhadap keupayaan lawan.

“Undian sudah pun dibuat dan kalau kita tengok pencapaian di atas kertas, memang nampak laluan mudah untuk JDT, tetapi dalam bola sepak, kami tidak boleh pandang rendah kepada mana-mana pasukan sekarang.

“Bagi saya, semua pasukan ada kekuatan masing-masing, dan saya rasa ia juga mencabar untuk JDT kerana kami tidak tahu apa kelemahan dan kekuatan pasukan Kuching FA sebab kita tidak pernah bertemu dalam saingan liga.

“Jadi tidak mustahil, Kuching FA boleh memberi kejutan yang kita tidak jangka, dan apa-apa pun, kami tidak boleh leka dan perlu memberikan sepenuh komitmen untuk memburu kemenangan, malam esok.

“Dengan kualiti pemain yang kita ada ketika ini, kita harus bekerja keras untuk cuba mengekalkan trofi Piala Malaysia pada musim ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, perlawanan antara Pulau Pinang dan Felda United di Stadium Bandaraya dijangka menarik dengan peluang dilihat seimbang buat kedua-dua pasukan untuk mara ke suku akhir.

Menurut ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira, beliau tetap menghormati skuad kendalian Nidzam Jamil itu yang disifatkan mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi terutama di TM Piala Malaysia biarpun pasukan itu sekadar menamatkan cabaran di tangga ke-11 CIMB Liga Super musim ini.

Ditambah Felda turut dihimpit pelbagai masalah dalaman selain tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan, Manzoor sama sekali tidak mahu menjadikan faktor itu  buatkan pemain-pemain skuad Harimau Kumbang berasa terlalu yakin yang mereka boleh menewaskan Felda tanpa sebarang masalah.

” Apa yang berlaku kepada Felda, bagi saya itu adalah masalah di peringkat pengurusan dan tiada kena mengena dengan prestasi pemain mereka di atas padang.

” Pemain-pemain Felda sudah pasti mahu membuktikan sesuatu serta mahu jadikan platform Piala Malaysia ini sebagai medan terakhir memperagakan bakat mereka dalam mencari pasukan baharu musim depan.

” Buat pemain Pulau Pinang, saya sudah tekankan jangan lagi terbuai-buai dengan kejuaraan Liga Premier kerana ini adalah aksi di pentas yang lebih sukar iaitu TM Piala Malaysia.

” Semua pemain berada di tahap terbaik kecuali Casagrande yang tidak 100 peratus cergas tetapi saya jangkakan dia boleh turun beraksi pada kesebelasan utama nanti,” katanya.

Tiga perlawanan pusingan pertama TM Piala Malaysia akan berlangsung pada malam esok selain aksi antara JDT dan Kuching FA di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Pulau Pinang akan menerima kunjungan Felda United manakala aksi tumpuan, Kedah bakal menentang Pahang di Stadium Darul Aman.

- Advertisement -