Atlet lempar cakera, Yap Jeng Tzan yang nekad tidak melakukan rawatan pembedahan demi menyumbang khidmat untuk negara di temasya Sukan SEa Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pertengahan Ogos ini.

Atlet kelahiran Sabah itu berkata beliau sepatutnya melakukan pembedahan di lutut namun enggan melakukan demikian kerana ingin beraksi di KL2017.

“Jika saya meneruskan untuk lakukan pembedahan tahun ini, besar kemungkinan saya tidak boleh beraksi di sukan SEA nanti.

“Jadi, saya membuat keputusan untuk menangguhkan pembedahan lutut saya supaya saya dapat membantu negara dan sekaligus mempertahankan pingat perak dalam acara ini,” katanya ketika ditemui di sidang media Program Kita Juara 2017 di Bilik Merak, Casa 1, Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini (2 Ogos).

Tidak dinafikan, peranan Yap Jeng Tzan dalam acara lempar cakera wanita ini adalah besar dan skuad olahraga negara telah meletakkan harapan di atas bahu beliau dan rakan sepasukan, Irfan Shamsuddin untuk menyumbang pingat di temasya sukan dwitahunan itu.

Menjelas lanjut mengenai penerusan perkhidmatan beliau dalam arena sukan selepas ini, Yap Jeng Tzan berkata, “Tahun ini umur saya sudah masuk 30 tahun, dan saya tahu bagi orang lain mungkin umur ini tidak sesuai bagi olahraga tetapi apa yang saya ingin katakan umur bukan penghalang, janji kita nekad dan boleh teruskan itu sudah memadai.

“Selagi saya boleh berlatih dan boleh sumbang untuk negara, saya akan teruskan. Namun, keputusan untuk bersara ini saya akan beritahu selepas tamat sukan SEA nanti,” katanya lagi.

Yap Jeng Tzan berjanji akan melakukan sebaik mungkin di KL2017 dan beliau berharap nasib menyebelahi beliau memenangi pingat emas yang diidamkan dalam acara itu. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI

- Advertisement -