Pelumba trek negara, Mohd Azizulhasni Awang masih mampu untuk melakar senyuman apabila menutup kalendar 2020 dengan podium selepas muncul juara acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Australia hari ini.

Jijoe menamatkan aksi final selaku juara manakala seorang lagi pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menaiki podium selaku pemenang tempat ketiga manakal tempat kedua milik pelumba tempatan, Matthew Glaetzer 

Pencapaian ini turut mendapat pujian daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berbangga dengan prestasi pelumba trek negara meskipun sudah lama tidak beraksi.

Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ bersama Muhammad Shah Firdaus terdahulu turut mengambil bahagian dalam acara pecut lelaki dan masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.

Dua pelumba trek negara ini telah layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo Julai tahun depan.

Februari lepas, Mohd Azizulhasni meraih pingat gangsa acara keirin lelaki dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman.

 

- Advertisement -