Tamat saingan kejohanan badminton Remaja Berpasukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Jumaat menandakan kalendar latihan untuk kem remaja kebangsaan telahpun berakhir.

Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek mempu untuk menarik nafas lega kerana berpuas hati dengan prestasi semasa pemain pemain.

Inisiatif untuk mengadakan pertandingan secara simulasi daripada BAM memberi peluang bukan sahaja kepada pemain tetapi barisan kejurulatihan untuk melakukan penilaian secara berterusan.

“Inilah objektif yag kita mahu. Ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sedang merancang macam mana nak adakan latihan untuk pemain pemain bila mereka datang.

“Untuk pemain pemain bawah 18 tahun, lebih empat bulan menjalani latihan, kita adakan pertandingan Cabaran Ranking, Play Off dan sekarang ini kejohanan berpasukan campuran.

“Jadi daripada keseluruhan objektif yang kita mahu, semuanya pada saya tercapai. Yang penting keseronokkan mereka, prestasi mereka dan keputusan yang terhasil oleh pemain pemain individu adalah atas hasil usaha mereka dan barisan kejurulatihan,”kata Misbun.

Tambah Datuk Misbun lagi, modul latihan yang diterapkan untuk pemain pemain telah membentuk ketahanan serta kemahiran individu dan jurang diantara mereka tidak begitu jauh.

“Kita lihat ketika mereka bermain, jarak mata begitu hampir kerana jika peningkatan kecergasan. Intensiti dan cara mereka bermain sangat berbeza berbanding ketika mereka mula masuk. Apa yang kita lihat ketika ini adalah mencapai seperti yang telah ditetapkan dalam indeks petunjuk prestasi (KPI),”katanya lagi.

Pemain pemain remaja akan diberi rehat bermula 22 Disember 2020 dan dijadual melaporkan diri pada 4 Januari 2021.

Peringatan diberikan kepada pemain untuk terus kekal cergas menerusi pemantauan oleh barisan kejurulatihan dan mereka juga boleh menghubungi Datuk Misbun ataupun mana mana jurulatih jika memerlukan panduan.

Datuk Misbun juga berharap dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan akan memberi ruang untuk pasukan remaja kebangsaan merasai kembali kerancakkan pertandingan seperti sebelum ini.

- Advertisement -