Selepas pulang merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Remaja di Argentina bulan lalu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei sekali lagi menggegar arena badminton negara apabila merangkul gelaran juara di Kejuaraan Badminton Remaja dunia BWF di Markham, Kanada.
Rentak kecemerlangan dan semangat Jin Wei nyata membara selepas menundukkan seteru utama dari China, Wang Zhiyi straight set 21-9, 21-13 di peringkat separuh akhir.
Diletak selaku pilihan ketiga, Jin Wei turun berdepan wakil Denmark, Line Christophersen dalam misi merangkul kejuaraan kedua selepas pertama kali memenanginya pada 2015 selepas menewaskan Lee Ying Ying pada aksi final.
Christophersen nyata bukan tandingan Jin Wei apabila pemain negara kelahiran Pulau Pinang ini menutup aksi final perseorangan wanita dalam masa 31 minit dengan kemenangan 21-13,21-11.
Satu lagi wakil negara yang beraksi dalam acara beregu wanita, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei gagal mengikuti jejak Jin Wei apabila tewas straight set 16-21, 16-21 kepada pilihan utama dari China, Liu Xuanxuan-Xia Yuting.