Hasrat pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei untuk merangkul kejuaraan senior pertama dalam kariernya berkecai setelah dia tewas dalam aksi final Grand Prix Emas Terbuka Taiwan, pada Ahad.

Jin Wei, pilihan ketiga kejohanan tunduk 17-21, 17-21 kepada pemain ranking ke-59 dari Jepun, Saena Kawakami dalam perlawanan berlangsung selama 39 minit di Taipei Arena, Songshan.

Terdahulu, Jin Wei melangkah ke final setelah menyingkirkan seorang lagi pemain Jepun, Haruko Suzuki manakala Kawakami menewaskan Natsumi Shimoda di peringkat separuh akhir yang berlangsung Sabtu.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua pemain berusia 17 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara di pertandingan GP Emas setelah turut kecundang di final Indonesian Masters pada tahun lalu.

Biarpun tewas, kejayaan melangkah ke final sedikit sebanyak memberi gambaran betapa Jin Wei semakin matang dalam permainannya dan bersedia untuk mengalas cabaran di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, apatah lagi dia disandarkan harapan untuk menyumbang satu daripada dua emas yang disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -