JPL (2)

Oleh Ku Mohd Lufti

Kejohanan Badminton Junior Purple League meneruskan saingan tahun ini dan akan membuka tirai bermula 24 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Purple League (M) Sdn Bhd, Datuk Jack Koh melihat JPL cukup sesuai dijadikan platform terbaik kepada pemain muda merasai suasana ketika pertandingan.

“JPL telah menghasilkan beberapa keputusan positif dengan beberapa pemain muda diserap oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjalani latihan bersama skuad negara,” kata Datuk Jack Koh

Malah pencapaian kontinjen negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, menjadi penanda aras Malaysia sebagai salah satu kuasa besar sukan badminton dunia.

“JPL adalah medan terbaik membentuk mereka (pemain) ke arah menjadi juara Olimpik serta dunia. Musim kedua ini juga menunjukkan peningkatan jumlah pasukan dari 11 kepada 19,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

JPL bakal menampilkan 19 kelab iaitu 10 kelab dalam Divisyen 1 dan sembilan kelab dalam Divisyen 2. Kejohanan itu menggunakan format liga dan akan berlangsung selama tiga minggu, melibat tiga lokasi iaitu di Pulau Pinang, Cyberjaya dan Ampang Jaya.

Selepas tamat JPL, Junior Champions Challenge (JCC) pula akan memulakan saingan di Sport Arena Bukit Serdang dari 20 hingga 23 Okt.

Sebanyak 19 pasukan daripada JPL dan beberapa pasukan baharu akan beraksi, namun saingan dalam JCC menggunakan format kalah mati.

- Advertisement -