Buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia mempunyai juara dunia dalam acara terjun setelah Cheong Jun Hoong memenangi pingat emas acara 10m platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary awal pagi Khamis.

Dalam aksi final, penerjun senior berusia 28 tahun itu mempamer terjunan luar biasa utnuk mengumpul 397.50 mata dari keseluruhan enam terjunan sekaligus melakar kejayaan sensasi dengan mengejutkan dua penerjun pilihan dari China, Si Yajie dan Ren Qian.

Si Yajie, juara dunia 2013 serta pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio De Janeiro tahun lalu menduduki tempat kedua dengan 396.00 mata manakala Ren Qian yang merupakan penyandang pingat emas Olimpik Rio sekadar berpuas hati dengan gangsa (391.95 mata).

Ia jelas kejayaan yang cukup manis buat Jun Hoong yang turut meraih pingat gangsa acara 10m platform seirama bersama Pandelela Rinong pada Selasa lalu, apatah lagi sebelum ini dia terlepas banyak kejohanan-kejohanan besar kerana kecederaan belakang dan baru sahaja kembali turun gelanggang.

“Ia bagaikan satu mimpi saya kini juara dunia. Memang saya harapkan dapat menang pingat, tetapi langsung tidak menjangka akan menang emas dengan menewaskan dua penerjun pilihan dari China.

“Setelah beberapa terjunan pertama saya langsung tidak melihat pada papan markah kerana mahu kekal fokus. Selepas terjunan terakhir, saya terkejut mendapati sedang mendahului pencabar-pencabar lain,” katanya. 

Dalam pada itu, ratu terjun negara, Pandelela yang meraih gangsa di Kazan, Russia dua tahun lalu pula menamatkan cabaran di tempat kesembilan dengan 322.40 mata.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -