Keengganan pemain import Junior Aparecido untuk keluar dari pasukan tanpa mendapat pampasan keseluruhan baki kontrak iaitu sehingga akhir musim ini, memaksa Kuala Lumpur melupakan hasrat menggugurkan pemain itu.

Ini bermakna dia akan kekal beraksi bersama pasukan warga kota dalam masa sama menyebabkan pasukan warga kota itu kempunan membawa masuk pemain import baru – mereka sebelum ini dilaporkan berminat dengan khidmat bekas penjaring terbanyak Liga Super Indonesia, Sylvano Comvalius.

“Pasukan ini tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk membawa masuk import baru dalam masa sama membayar pampasan penamatan kontrak yang begitu besar kepada Junior. Semuanya membabitkan duit yang besar.

“Kalau kekalkan kena bayar gaji, kalau gugurkan pula kena bayar pampasan, jumlahnya adalah sama, jadi pilihan yang kami ada, lebih baik kami terus gunakan dia,” ujar Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

Junior sebelum ini mahu digugurkan KL kerana prestasi kurang meyakinkan dalam beberapa perlawanan awal dan tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Fabio Maciel dalam 10 perlawanan terakhir.

Dia diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang Kelantan pada Selasa lalu dan menjaringkan satu gol dalam kemenangan besar 5-1 ke atas pasukan pantai timur itu.

Sementara itu, setelah menjalani trial hampir sebulan, bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli sah menyertai pasukan warga kota sehingga akhir musim ini setelah pengurusan KLFA berpuas hati dengan laporan kecergasan dan kesihatannya.

Sharbinee menjadi pilihan KL sebagai solusi untuk mengatasi masalah ketiadaan penjaga gol berpengalaman setelah mereka gagal mendapatkan khidmat dua penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang memilih menyertai Melaka dan Ramadhan Hamid (Kedah).

Pemain kelahiran Terengganu ini tidak beraksi lebih setahun sejak Februari tahun lalu kerana menjalani rawatan jangkitan kuman di paru-paru dan hanya kembali ke latihan penuh awal tahun ini.MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -