Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 19 (B-19) negara, Bojan Hodak telah mengatur tiga aksi pemanas badan dengan tiga kelab Thailand sebagai persiapan awal menghadapi pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dari 1 hingga 14 Julai ini di Indonesia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook mereka memaklumkan, skuad muda negara yang akan berlepas ke Bangkok pada 29 Mei ini akan menguji pasukan B-19 Thailand pada 30 Mei, diikuti aksi kedua bertemu Assumption United pada 2 Jun.

Kedua-dua perlawanan berkenaan dijadualkan berlangsung di Stadium SCG Muangthong.

Skuad muda negara akan meneruskan aksi pemanas badan terakhir menentang kelab Chonburi FC pada 4 Jun di Stadium Chonburi sebelum kembali ke tanah air, keesokan harinya.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Kemboja, Brunei Darussalam, Timor Leste dan Myanmar pada pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak B-19 AFF.— BERNAMA

- Advertisement -