khairy.teong.kim

Oleh Muhammad Aiman

Kementerian Belia dan Sukan akan melantik khidmat tenaga pengajar dari luar negara untuk membantu Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim mengendalikan jurulatih program itu di seluruh negara.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, “Kita akan pastikan beliau dibantu pakar-pakar yang lain, kita akan umumkan beberapa lantikan baru yang akan membantu Teong Kim dari segi pembangunan jurulatih, sebab kalau sandarkan semata-mata kepada Teong Kim sahaja untuk membangunkan jurulatih di seluruh negara, ia akan menjadi sukar baginya.

“Saya telah buat beberapa lantikan baru dari luar negara, dari akademi-akademi terkemuka di Eropah, untuk menjadi tenaga pengajar supaya kita dapat bangunkan jurulatih di akademi kita de seluruh negara. Buat masa ini, cabaran yang kita hadapi adalah kualiti jurulatih tidak konsisten, ada yang bagus, ada yang tidak begitu cemerlang.”

Khairy berkata demikian selepas menjawab mengenai status kontrak Teong Kim selama tiga tahun yang akan berakhir pada hujung Oktober ini, di mana menurutnya KBS dalam peringkat terakhir untuk memperhalusi kontrak baru bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu.

“Saya yakin kita akan dapat perbaharui kontrak Teong Kim. Beliau telah menyatakan kesediaan untuk terus bersama NFDP, untuk tempoh lima tahun lagi. Kita perlu lihat terma dan membuat rundingan, ini adalah perkara biasa selepas kontrak tamat, mestilah ada rundingan semula berdasarkan prestasi, ekpetasi dan sebagainya.

“Kita perlukan sedikit masa, Secara keseluruhan saya berpuas hati dan kita mahu ada kesinambungan. Teong Kim telah memulakan projek ini, untuk berlaku adil kepadanya kita bagi peluang kepada beliau bawa program ini sehingga seurang-kurangnya ke kelayakan Piala Dunia B-17 yang menjadi sasaran.”

- Advertisement -