Wan Zaharulnizam (dua dari kiri) memerhatikan penyerang Fakri Saarani menggelecek pertahanan PKNS pada perlawanan pusingan pertama Selasa lepas.
Wan Zaharulnizam (dua dari kiri) memerhatikan penyerang Fakri Saarani menggelecek pertahanan PKNS pada perlawanan pusingan pertama Selasa lepas.

PEMAIN sayap Kelantan, Wan Zaharulnizam Zakaria berasa seperti di awang-awangan apabila mendapat perhatian jurulatih Steve Darby ketika The Red Warriors (TRW) membenam T-Team 3-0 dalam saingan Liga Super Sabtu lalu.

Ekoran itu, pemain muda harapan negerinya bertekad mengekalkan prestasi untuk menyingkirkan PKNS FC dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Wan Zaharulnizam, atau lebih dikenali sebagai ‘Kecik’, mendapat pujian apabila dianggap sebagai pemain terbaik oleh Darby dalam perlawanan di Kota Baru itu.

Kata Wan Zaharulnizam, penghargaan yang diberikan oleh jurulatih itu perlu dibalas dengan aksi yang lebih mantap terutama ketika berdepan PKNS, bagi mempertahankan kejuaraan Piala FA.

“Bukan senang nak dapat pujian daripada jurulatih malah saya gembira kerana penghargaan itu menyuntik semangat saya untuk mengekalkan prestasi terbaik bagi membantu Kelantan musim ini.

“Saya lebih bersedia untuk mengasak PKNS kerana pasukan Kelantan sekarang sudah menemui rentak sebenar dan akan membalas kepercayaan jurulatih dan penyokong TRW,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, bekas pemain skuad Harimau Muda A yang berusia 22 tahun itu tetap mengakui TRW berdepan tekanan berikutan dua jaringan tempat lawan yang dimiliki PKNS ketika tewas 3-2 pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, 11 Feb lalu.

Menurut Wan Zaharulnizam, Kelantan perlu menggempur kubu PKNS habis-habisan bagi mendapatkan jaringan awal untuk mematahkan kebangkitan pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu.

“Walaupun kita menang 3-2 dalam perlawanan pertama namun itu bukan satu keputusan yang bagus. PKNS pasti akan bangkit di tempat mereka sendiri dan kita akan berdepan tekanan.

“Bagi perlawanan malam esok (malam ini) jaringan awal boleh memadam api perjuangan mereka, sekaligus memastikan TRW layak ke peringkat seterusnya.”

Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my

- Advertisement -