KEDAH Eagle Jr mengambilalih kedudukan pendahulu Divisyen 2A selepas seri 1-1 dengan PHNS/MSNS-B16 pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalill hari ini.

Berbaki satu perlawanan sebelum bermula saingan separuh akhir Jumaat ini (24 Disember), Kedah Eagle Jr melonjak ke tangga pertama dengan kelebihan satu mata (16 mata), mengatasi pendahulu sebelum ini MSNS/PHS yang mengumpul 15 mata. 

Skuad bimbingan jurulatih Nordin Othman itu akan bertemu MSNS/PHS pada Khamis dalam perlawanan yang mungkin menentukan juara Divisyen 2. 

Kedudukan mungkin berubah semula sekiranya pendahulu sebelum ini, MSNS/PHS berjaya mengatasi Torpedo/Silverstate HC, esok (22 Disember).

Pada saingan hari ini, Muhammad Imran Hazriq terlebih dahulu membuka jaringan buat PHNS/MSNS-B16 pada minit ke-32 tetapi Kedah Eagle Jr berjaya mengikat dengan keputusan seri 1-1 menerusi  jaringan Muhammad Noor Mustaqim Shariman  pada minit ke-48. 

Pada perlawanan lain, PHK-MSN Kelantan menang tipis 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting manakala M.Lions HC-Mutiara Impian berkongsi mata dengan MBPJ Black Widow selepas seri tanpa jaringan. 

Penyerang Amirul Syukri Nazaruddin menjaringkan dua gol untuk membantu Franciscan HCmelakar kemenangan besar 5-0 ke atas PHNS Seniors. Manakala Sarawakian Jr meraih kemenangan pertama apabila membenam Hockeylah HC 4-2. 

Dua pasukan teratas dalam Divisyen 2A dan Divisyen 2B akan ke separuh akhir Jumaat ini manakala perlawanan akhir Divisyen 2 dijadualkan pada Ahad ini (26 Disember). 

Juara Divisyen 2 layak menyetai tujuh pasukan lain ke saingan suku akhir Piala TNBMJHL 2021 yang bermula pada Isnin, 27 Disember. 

- Advertisement -