Oleh Muhammad Aiman
Aksi final Piala FA pada 20 Mei depan akan menemukan dua pasukan elit Liga Super, Kedah dan Pahang setelah kedua-duanya tampil cemerlang mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung Sabtu. 
Kedah mengetepikan Terengganu dengan agregat 4-0 setelah mencatat kemenangan 3-0 di Kuala Terengganu manakala Pahang menyingkirkan Negeri Sembilan dengan agregat 3-1 setelah menang 2-1 di Paroi. 
Kedah bimbingan Nidzam Adha Yusoff tampil dominan di hadapan hampir 15,000 penyokong tuan rumah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila mendahului seawal minit keempat menerusi tonggak tengah, Liridon Krasniqi. 
Penyerang, Ken Ilso Larsen mengukuhkan kelebihan Lang Merah pada minit ke-28 apabila menyambar bola hantaran ke belakang Abdul Shukur Jusoh dan melepaskan rembatan menewaskan Amierul Hakimi Awang. 
Ketinggalan tiga gol secara agregat nyata tekanan berat buat skuad bimbingan Irfan Bakti yang perlu mencari empat gol untuk menterbalikkan keputusan dan jelas ianya malam cukup mengecewakan buat mereka tatkala segala serangan yang diatur mudah dipatahkan benteng Kedah. 
Dua minit bersambung separuh masa kedua, Sandro Mendonca melengkapkan kemenangan bergaya Kedah sekaligus membawa pasukan itu ke pentas final buat kali kelima selepas 1996, 2007, 2008 dan 2010.  
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman pula, jaringan lewat Christie Jayaseelan pada minit ke-87 memastikan Pahang mengecewakan hasrat Negeri Sembilan melakar kejutan. 
Pahang mengukuhkan kelebihan agregat pada minit keenam menerusi Jae Woon Hyo yang menanduk masuk sepakan percuma Ahmad Syamim Yahya. 
Tuan rumah tidak mengalah dan cuba bangkit di separuh masa kedua, hasilnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-67 namun gagal mencari tambahan jaringan sebaliknya tok gajah pulang selaku pemenang menerusi jaringan Christie. 
Ini kali keempat Pahang mara ke final selepas 1995, 2006 dan 2014.
- Advertisement -