Kedah dan Felda United mempunyai rekod pertemuan seimbang sepanjang tiga musim yang terakhir ini – masing-masing menang dua kali dan seri dua kali dalam enam pertemuan sejak 2015.

Namun musim ini menyaksikan sang Lang Merah gagal untuk menewaskan Felda apabila seri 1-1 di gelanggang lawan dan tewas 1-3 di gelanggang sendiri, kedua-duanya dalam saingan Liga Super.

Justeru pengendali Kedah, Nidzam Adha Yusoff berpendapat pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan malam ini menyediakan peluang terbaik buat pasukannya mengatasi badi tersebut namun menegaskan mereka perlu terlebih dahulu bijak menangani tekanan.

“Ekspetasi adalah tinggi terhadap kita kerana kita adalah juara bertahan. Jadi saya ingatkan pemain jangan biarkan tekanan menguasai mereka. Ini bukan kali pertama mereka bermain di pentas ini, jadi saya percaya dengan pengalaman yang ada pada mereka, mereka tahu apa nak dibuat dan kita boleh dapatkan satu keputusan yang baik untuk dibawa pulang ke Alor Star.

“Anggap kegagalan menewaskan Felda musim ini serta kekalahan kepada mereka pada bulan lalu sebagai satu motivasi. Saya mahu mereka cabar diri sendiri dan main macam main di final, kerah segala kudrat. Anggaplah peluang ini hadir hanya sekali sahaja jadi gunakan ia sebaiknya,” ujar Nidzam.

Sementara itu ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata dalam keghairahan memburu kemenangan, dia dan rakan sepasukan perlu berwaspada dan mengelak dari melakukan kesilapan yang hanya akan memakan diri sendiri.

“Felda mempunyai ramai pemain berkualiti termasuk bekas pemain Kedah sendiri, Thiago (Augusto) yang sentiasa boleh memanfaatkan setiap peluang di depan mata. Buktinya telah kita tengok ketika mereka bangkit menewaskan PKNP dan kemudiannya tewaskan JDT, jadi penting untuk tutup segala ruang.

“Lagipun kita tahu mereka bermain tempo permainan yang laju kerana bermain di padang rumput tiruan, ia juga satu kelebihan buat mereka. Kita perlu mengimbangi permainan dan tenang, fokus seratus peratus,” kata Baddrol yang beraksi bersama skuad kebangsaan dalam kekalahan 0-2 kepada Hong Kong minggu lalu.

Kedah yang muncul juara tahun lalu dengan menewaskan Selangor ketika ini dalam misi untuk mara ke final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut manakala Felda pula memburu aksi pertama di pentas final trofi berprestij tanah air itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -