Memperbaiki kepincangan di barisan pertahanan adalah fokus utama PKNS FC sepanjang tempoh rehat panjang Liga Malaysia dan mereka berharap kehadiran pemain import baru dari Gambia, Abdou Jammeh dapat membantu memperkasakan posisi itu.   

Rekod pertahanan buruk – bolos 26 gol dalam 13 perlawanan, purata 2 gol setiap perlawanan menyaksikan PKNS FC bergelut mencatat keputusan positif dan ketika ini berada di tangga kesembilan dengan mengumpul 11 mata dari 13 perlawanan.

Malah skuad sang semut merah hanya dipisahkan melalui beza jaringan dengan dua pasukan di bawah mereka Sarawak dan Melaka yang turut mengumpul 11 mata, serta berkelebihan lima mata ke atas Pulau Pinang. 

Justeru, pengendali pasukan, E.Elavaran berharap rombakan besar yang dilakukan pada pasukan itu sepanjang jendela perpindahan kedua yang dibuka dari 15 Mei – 11 Jun baru-baru ini akan membantu mengubah nasib pasukan itu.

“Kita telah mendapatkan pemain-pemain yang kita percaya boleh membantu pasukan untuk terus melangkah ke depan sebagai satu unit.  Semua pasukan mengambil peluang untuk perkuatkan pasukan, jadi sudah tentunya saya boleh katakan baki saingan akan menjadi lebih mencabar.

“Begitupun dengan skuad bebas kecederaan dan pemain bagus di setiap posisi terutamanya pertahanan yang sering menjadi masalah kita, saya percaya kita boleh mendaki ke kedudukan lebih baik dalam carta liga.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kita tiada masalah menjaringkan gol. Kita rapuh di pertahanan jadi saya harapkan kehadiran Jammeh dapat membantu menutup kepincangan yang wujud,” ujar Elavarasan yang membimbing PKNS FC mara ke final Piala FA 2016.

Pada jendela perpindahan kedua Liga-M, PKNS menggugurkan enam pemain iaitu tiga pemain import Gonzalo Soto, Lucas Espindola (Argentina), Matias Jadue (Palestin) selain Sabre Abu, Arip Amirudin dan S.Sivanesan.

Selain Jammeh, mereka turut merekrut empat pemain baru iaitu Tauffiq Ar Rashid Johar (penjaga gol), Pak Kwang Il, Fabio Fereira serta kehadiran semula Khairu Azrin Khazali yang sebelum ini berhijrah ke Melaka. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -