Setelah tidak beraksi ketika minggu pembukaan Liga Super, Kelantan akan membuka tirai musim baru dengan menentang PKNS FC pada Jumaat, di Stadium Shah Alam.
Ketua pasukan, Badhri Radzi melaungkan hasrat mahu membantu skuad The Red Warriors memulakan musim dengan langkah kanan, mengutip tiga mata di gelanggang lawan meskipun sedar PKNS ibarat singa terluka setelah kecundang aksi pertama kepada Felda United, Sabtu lalu.
“Kita tahu PKNS ketika ini mahu bangkit, mereka sudah tentunya tidak mahu tewas sekali lagi, lebih-lebih lagi di tempat sendiri. Mereka bukan calang-calang pasukan, mereka ada ramai pemain bagus seperti (Patrick) Ronaldinho dan Safee (Sali).
“Kita perlu memberi lebih perhatian kepada dua pemain ini yang merupakan senajata utama PKNS dan boleh memusnahkan pasukan lawan jika tidak dijaga dan perlu bekerja keras, apatah lagi kita akan bermain petang.
“Kita juga perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan seandainya hujan turun,” kata Badhri yang ditemui ketika sesi latihan pasukan di Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail membawa pasukannya berkampung di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu gara-gara keadaan cuaca buruk di Kelantan yang menyebabkan padang latihan tidak dapat digunakan.
Menurut Badhri lagi, penundaan perlawanan menentang Melaka United juga memberi rahmat buat pasukan kerana mereka mempunyai lebih masa untuk memupuk keserasian bersama pemain import baru iaitu Alessandro Celin, Mohamed Ghaddar dan Mamadou Futty Danso.
Sementara itu, bagi Futty Danso, dia bersedia untuk turun dalam aksi pertamanya di Liga Malaysia Jumaat ini seandainya diberi kepercayaan dan mahu membuktikan betapa Kelantan tidak silap dalam memilihnya untuk menggantikan Okiki Afolabi yang terpaksa dihantar pulang gara-gara kecederaan.
“Sejujurnya saya tidak tahu mengenai PKNS, saya diberitahu mereka naib juara Piala FA dan antara kelab terbaik di Malaysia jadi sudah tentunya mereka sebuah pasukan yang bagus. Tugas saya adalah di atas padang dan saya mahu memberikan sepenuhnya jika diberi kepercayaan. Apa saya harapkan adalah sokongan berterusan para peminat,” kata pemain berasal dari Gambia itu.
Pada minggu pertama Liga Super tempoh hari, aksi Kelantan dan Melaka di Kota Bharu ditunda setelah hujan lebat menyebabkan permukaan padang ditakungi air, manakala PKNS bimbingan E.Elavarasan tewas 0-1 kepada Felda menerusi jaringan tunggal Norshahrul Idlan Talaha. – Oleh Muhammad Aiman