faizal-saari

Oleh Muhammad Aiman

Penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Shaari dikenakan hukuman gantung dua perlawanan kerana memanggil pengadil dengan panggilan ‘bodoh’ ketika aksi Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) antara THT menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada Ahad lalu.

Pengarah kejohanan TNB- MHL, Jusvir Singh mengesahkan Faizal mengaku bersalah atas tuduhan itu yang turut menyaksikannya dilayangkan kad merah dalam aksi tersebut yang dimenangi THT 2-1.

“Dia telah dilayangkan kad kuning pada minit ke-34 dalam perlawanan itu oleh pengadil Nor Azhar Abiddin kerana melakukan kekasaran, dan kemudiannya kad merah kerana memanggil pengadil bodoh.

“Kita telah menggantungnya untuk dua perlawanan Divisyen Perdana berdasarkan kepada 12 mata demerit yang dikutipnya dalam perlawanan itu – satu kad kuning (empat mata) dan satu kad merah (lapan mata),” ujar Jasvir.

Ini bermakna bekas penyerang kebangsaan yang lebih banyak mencuri tumpuan kerana kontroversi itu akan terlepas aksi menentang Maybank di Melaka pada Jumaat ini serta perlawanan menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Kuala Lumpur pada Ahad.

- Advertisement -