khairul.hafiz.jantan

Oleh Muhammad Aiman

Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mengesahkan tidak akan mengambil bahagian di dalam acara riben biru 100m di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Arena Sukan Universiti Malaya pada hujung bulan ini.

Sebaliknya pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.18m yang dilakukan ketika di SUKMA Sarawak dua bulan lalu itu mahu memberi tumpuan penuh kepada acara 200m dengan sasaran memecahkan rekod 20.92s berusia 48 tahun milik pelari legenda Tan Sri Dr. M.Jegathesan.

“Jurulatih (Mohd Poad Kassim) menyuruh saya untuk fokus pada acara 200m, saya telah pecahkan satu rekod dan kini saya memang letakkan harapan tinggi untuk pecahkan satu lagi rekod yang paling lama bertahan dalam sejarah olahraga negara,” ujar atlet berusia 18 tahun itu.

Untuk rekod, pelari terpantas remaja Asia itu mempunyai catatan masa peribadi terbaik 21.01s dalam acara 200m (direkodkan ketika Kejohanan Remaja Asia), dan dia menegaskan sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk melakukan sedaya termampu dalam penampilan pertamanya di Terbuka Malaysia.

“Saya telah bekerja keras sejak berakhirnya SUKMA dan mahu melakukan catatan di bawah 21 saat. Catatan masa saya semakin bertambah baik, jadi saya yakin masanya akan tiba yang penting saya tidak boleh berhenti memperbaiki diri,” kata pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu yang akan turut berlari dalam acara 4x100m.

Ketika di SUKMA Sarawak Julai lalu, Khairul Hafiz menghadiahkan empat pingat emas buat Melaka menerusi acara 100m, 200m, 4x100m dan 4x400m – memecahkan empat rekod kejohanan dan satu rekod kebangsaan, membolehkannya diangkat sebagai Olahragawan SUKMA.

Sementara itu, jurulatih, Mohd Poad pula berkata, “Dia telah membuktikan kredibiliti dalam acara 100m, jadi sekarang tiba masanya dia buktikan dalam acara 200m. Saya percaya dia boleh lakukannya kerana dia seorang atlet yang berdedikasi dan mempunyai keinginan yang cukup tinggi.”

- Advertisement -