Oleh Muhammad Aiman

Tabiat meminta atau mengharapkan dana dari kerajaan negeri tidak sepatutnya lagi menjadi amalan di kala bolasepak Malaysia sudah hampir tiga dekad memasuki era professional dan sedang menuju penswastaan, demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Krisis kewangan tenat ditambah pula dengan keengganan kerajaan negeri tampil membantu pasukan bolasepak untuk terus ‘bernafas’ menjadi antara isu hangat mewarnai kancah bolasepak tempatan setelah Kelantan mengambil tindakan nekad mahu menarik diri dari beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Keputusan muktamad hanya akan dibuat 29 Disember dan seandainya gagal mendapat ‘pembiaya kewangan’ sebelum tarikh itu, Kelantan akan menjadi pasukan terbaru ‘tutup kedai’ selepas beberapa pasukan mengambil tindakan sama sebelum ini antaranya MPPJ Selangor, Public Bank, DRB Hicom dan Real Mulia FC.

Justeru, Khairy berkata setiap persatuan atau kelab bolasepak seharusnya berdikari mencari duit sendiri menerusi pelbagai cara ataupun mempunyai satu badan yang boleh menyuntik sumber kewangan kepada mereka.

“Saya tidak fikir perlu ada lagi penglibatan kerajaan negeri. Jika mahu swastakan liga, perlu ada badan yang membiayai pasukan itu. Ini satu masalah kronik yang mana jika tidak ditangani secara menyeluruh bukan sahaja akan menjejaskan pasukan Kelantan, tetapi juga pasukan-pasukan lain.

“Satu struktur yang lebih berkesan perlu diperkenalkan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan juga persatuan-persatuan negeri untuk mengelakkan masalah seperti ini memberi kesan kepada pasukan-pasukan lain,” kata Khairy.

Khairy turut menekankan mengenai perlunya kesepakatan jika mahu melihat penswastaan Liga Malaysia menjadi realiti, “Bercakap mengenainya memang mudah tapi untuk swastakan liga itu sendiri perlu ada entiti untuk membiayainya. Kalau tidak ada entiti atau kata sepakat maka itulah yang menyebabkan akan ada dua pasukan dari negeri sama.”

Khairy bercakap kepada pemberita selepas hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala SuperMokh 2016 yang mana Malaysia Cougars muncul juara setelah menundukkan kelab Portugal, Sporting Lisbon 1-0 menerusi jaringan minit akhir Harith Naim di Bukit Jalil.

Kemenangan skuad B-14 Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu sekaligus menafikan hasrat Sporting Lisbon merangkul kejuaraan berganda setelah pasukan itu terdahulu memenangi saingan B-12 tahun.

Menurut Khairy, dia cukup berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan ketika aksi final terbabit dan berpendapat pencapaian dilakar wakil-wakil negara di edisi ketiga Piala SuperMokh adalah membanggakan.

“Kualiti pertandingan meningkat dari tahun ke tahun dan ia menepati objektif yang kita mahu, beri pendedahan kepada bakat muda terutamanya skuad elit dan menerap keyakinan dalam permainan mereka, selain mengasah mereka menjadi pemain yang lebih baik.

“Tahun depan, kita tampil lebih ekslusif dengan memperkenalkan tiga kategori umur iaitu B-12, B-13 dan B-14. Antara 8-10 pasukan sahaja bertanding, kita akan saring dan jemput hanya pasukan antarabangsa yang berkualiti untuk beri cabaran,” jelasnya.

- Advertisement -