Satu pertemuan antara Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal bersama YB Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu berlangsung hari ini di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut bersama dalam pertemuan tersebut ialah Naib Presiden KHM yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Mohd Fikri Harun, Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Rashidi Hashim serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Hoki Negeri Terengganu di mana satu perbincangan yang cukup proaktif telah berlangsung.

Dato’ Sri Subahan Kamal dalam pertemuan tersebut telah menyuarakan hasrat kepada YB Wan Sukairi untuk menganjurkan Kejohanan Hoki Antarabangsa secara tahunan di Kuala Terengganu di mana ia pastinya dapat membantu menaikkan lagi martabat sukan hoki di negeri tersebut selain turut berupaya untuk melonjakkan pendapatan negeri dari sudut pelancongan.

Dato’ Sri Subahan Kamal dalam masa yang sama melahirkan rasa berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang telah banyak membantu sukan hoki di negeri tersebut khususnya Persatuan Hoki Negeri Terengganu dengan memperuntukkan sejumlah peruntukan bagi sukan tersebut.

KHM berharap agar peruntukan yang telah disalurkan sebelum ini dapat ditingkatkan lagi bagi memastikan kualiti Sukan Hoki di Terengganu terus berada di tahap terbaik dan mampu untuk melahirkan lebih ramai pemain yang berupaya untuk mewakili negara satu hari nanti.

Bagi pihak KHM, Kerajaan Negeri Terengganu harus dijadikan contoh oleh Kerajaan Negeri yang lain terutamanya dari sudut membantu Sukan Hoki dengan bantuan kewangan kerana Kerajaan Negeri Terengganu setiap tahun menyalurkan hampir RM 3 juta untuk terus membangunkan sukan hoki di negeri mereka.

Jika Kerajaan Negeri lain juga dapat mencontohi usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan memberikan peruntukan kepada Sukan Hoki di negeri masing-masing, ianya pasti akan membantu membangunkan lagi Sukan Hoki di negeri mereka.

Selain itu, Dato’ Sri Subahan Kamal turut memberikan penerangan mengenai Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) kepada YB Wan Sukairi dan satu maklum balas positif diterima oleh Dato’ Sri Subahan apabila beliau dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu bakal mewujudkan Akademi Hoki Negeri Terengganu.

Dengan adanya akademi tersebut selain pusat-pusat latihan hoki di bawah Program NHDP di Terengganu, pastinya lebih ramai pemain yang berbakat dalam sukan hoki dapat dicungkil dan KHM turut mencadangkan agar lebih banyak padang hoki mahupun Stadium Hoki dibina bagi merealisasikan impian untuk melahirkan pemain yang berkualiti di negeri tersebut.

- Advertisement -