Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021 bagi kategori lelaki dan wanita akan menjadi kejohanan pembuka tirai bagi kalendar kejohanan tahun 2021 dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mensasarkan untuk menganjurkan kejohanan itu pada 8 Januari hingga 28 Februari 2021.

Keputusan tersebut dicapai selepas berakhirnya Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM Kali Ketujuh yang berlangsung semalam dan kalendar kejohanan bagi tahun 2021 yang turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut juga telah mendapat persetujuan daripada semua Ahli Lembaga Eksekutif KHM.

Walaupun situasi penularan Pandemik Covid-19 di Malaysia kini masih dalam keadaan yang membimbangkan namun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh meletakkan harapan yang tinggi agar situasi ini akan beransur pulih dan berada dalam keadaan terkawal menjelang tahun hadapan.

 

“Selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif semalam, persetujuan telah dicapai di mana Kejohanan TNB MHL bagi tahun 2021 akan dijalankan pada 8 Januari hingga 28 Februari 2021. Saya juga berharap menjelang tahun hadapan, situasi wabak Pandemik Covid-19 akan beransur baik dan berada di dalam keadaan terkawal.

“Sekiranya keadaan mengizinkan, itu merupakan tarikh yang kami sasarkan untuk kejohanan berlangsung dan saya sangat berharap agar perancangan kami ini dapat dijalankan mengikut jadual.

“Kami akan menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memaklumkan kepada mereka mengenai perancangan KHM untuk menganjurkan kejohanan pada awal tahun hadapan dan mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Harapan saya agar penganjuran TNB MHL 2021 akan lebih meriah daripada penganjuran tahun ini serta menerima penyertaan yang lebih banyak daripada pasukan-pasukan untuk bertanding dalam kejohanan tersebut sama ada bagi kategori lelaki mahupun wanita,” jelasnya.

Untuk rekod, Kejohanan TNB MHL 2020 yang berakhir pada Februari lalu telah membariskan lapan pasukan bagi kategori lelaki (UniKL, THT, TNB, Maybank, TNB Thunderbolts, UiTM, Nurinsafi HT dan Hockademy KL) sementara enam pasukan bagi kategori wanita (TLHT, PDRM Blue Warriors, PKS Uniten, Sabah, Mutiara-MSSPP-PSHA dan Hockademy KL).

- Advertisement -