Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan senarai 20 pemain Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan yang bakal menggalas tugas bagi mengharungi Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 edisi ke-11, yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober hingga 4 November di Stadium Hoki Taman Daya.

Kejohanan bawah 21 tahun itu menghimpunkan pasukan terbaik dunia di mana Malaysia selaku tuan rumah diletakkan di dalam Pool B bersama India, Pakistan dan New Zealand sementara dalam Pool A menampilkan Jerman, Australia, Afrika Selatan dan Great Britain.

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menjelaskan tiada rombakan besar-besaran berlaku dalam pasukannya daripada barisan pemain yang mengikuti siri jelajah Eropah sebelum ini, dan beliau hanya menyenaraikan dua muka baharu iaitu Eswaran George dan Muhammad Alief Adha Akhbar.

“Tidak banyak perubahan pemain yang disenaraikan untuk skuad SOJC Kali ini. Hanya ada 2 muka baru yang disenaraikan iaitu Eswaran (penyerang) dan Alief Adha (pertahanan).

“Pemilihan pemain berdasarkan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pemain ketika sesi latihan serta jelajah Eropah tempoh hari.

“Selain daripada hoki, disiplin yang tinggi ketika sesi latihan juga diambil kira kerana ia antara kunci utama kejayaan sesebuah pasukan dan juga pemain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejohanan SOJC juga akan menjadi medan bagi Malaysia dan negara-negara berkenaan, kecuali Great Britain, untuk melakukan persediaan akhir sebelum menghadapi Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur 2023 pada 5 hingga 16 Disember depan.

Tambah Amin Rahim kejohanan ini juga menjadi medan terakhir untuk beliau bersama barisan kejurulatihan mempersiapkan skuad terbaik bagi menghadapi kempen Piala Dunia Remaja nanti.

“Hanya tinggal enam minggu sebelum bermulanya Kempen Piala Dunia Remaja dan SOJC merupakan medan terakhir persiapan pasukan.

“Sudah pasti ia akan digunakan sebagai pentas penilaian terakhir buat para pemain untuk membuktikan mereka layak menggalas tanggungjawab beraksi pada Piala Dunia Remaja nanti.

“Tempoh ini juga kami harus memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan sebelum bermulanya Piala Dunia Remaja. Pemain juga harus mengambil tanggungjawab untuk memperbaiki kesilapan individu serta pasukan supaya meraka tidak berada selesa serta mengambil mudah dengan segala yang mereka lakukan di atas padang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Amin Rahim turut mengharapkan aksi terbaik dipamerkan anak buahnya di SOJC tanpa melupakan misi utama pasukan iaitu Piala Dunia Remaja.

“Pastinya saya mengharapkan satu persembahan yang baik daripada semua pemain yang dipilih dan kami sedar dalam tempoh enam minggu ada dua kejohanan besar.

“Kami harus bijak untuk beraksi dalam kapasiti dan kondisi yang terbaik, dengan tidak melupakan bahawa Piala Dunia adalah matlamat utama kami.

“Buat para pemain, turunlah beraksi dengan penuh keyakinan dan percaya dengan persiapan yang telah pasukan lakukan selama ini,” katanya.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan yang bakal beraksi di Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2023

NO NAMA POSISI
1 Mohamad Rafaizul Mohamad Saini Penjaga Gol
2 Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal Penjaga Gol
3 Muhammad Alief Adha Akhbar Pertahanan
4 Azmilmuizzuddin Misron Pertahanan
5 Ahmad Suhaimi Kamaruddin Pertahanan
6 Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib Pertahanan
7 Andywalfian Jeffrynus Pertahanan
8 Muhamad Faris Harizan Pertahanan
9 Muhammad Khairul Norizam Tengah
10 Alfarico Lance Liau Jr Tengah
11 Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar Tengah
12 Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari Tengah
13 Muhammad Danish Danial Abdul Wahab Tengah
14 Mughni Mohamad Kamal Tengah
15 Eswaran George Penyerang
16 Mohamad Shamir Rizmi Shamsul Penyerang
17 Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar Penyerang
18 Mohammad Harris Iskandar Osman Penyerang
19 Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini Penyerang
20 Shahmie Irfan Suhaimi Penyerang

 

Berikut merupakan barisan Pengurusan dan Kejurulatihan yang akan bersama ke Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2023.

NO NAMA POSISI
1. I. Vikneswaran Pengurus Pasukan
2. Muhamad Amin Rahim Ketua Jurulatih
3. Stephen Van Huizen Pengarah Teknikal
4. Megat Azrafiq Megat Termizi Penolong Pengurus Pasukan
5. Roslan Jamaluddin Jurulatih Penjaga Gol
6. Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil Penolong Jurulatih
7. Baljit Singh Charun Singh Penolong Jurulatih
8. John Archbold Jurulatih Kecergasan

 

Berikut merupakan jadual perlawanan Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan di Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 bagi saingan Pool B.

NO HARI / TARIKH MASA PERLAWANAN
1. JUMAAT : 27 OKTOBER 2023 8:35 MALAM MALAYSIA lwn NEW ZEALAND
2. SABTU : 28 OKTOBER 2023 8:35 MALAM MALAYSIA lwn INDIA
3. SELASA : 31 OKTOBER 2023 8:35 MALAM PAKISTAN lwn MALAYSIA

 

- Advertisement -