Aksi persahabatan antara skuad B-22 Malaysia dan juga Kelab Bolasepak India Malaysia (MIFA) di Stadium Universiti Islam Malaysia pada Sabtu menyaksikan skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee itu tewas 0-1.

Gol tunggal jaringan Pedro Henrique yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12 menghadiahkan kemenangan buat MIFA yang merupakan pendatang baru Liga Super 2019.

Bagi skuad B-22 negara, ini  adalah perlawanan pertama mereka tahun ini selepas mula dikumpulkan semula pada Rabu lalu dan juga satu daripada rangka persiapan skuad negara menjelang Kelayakan AFC B-23 di Bukit Jalil pada bulan Mac depan.

Selepas perlawanan, OKS mengumumkan empat pemain terpaksa digugurkan iaitu Izzan Syahmi Mustapha, Arisdius Jais, Ariff Ar Rasyid Ariffin dan pemain Pahang, Faisal Halim (gambar utama) kesemuanya kerana mengalami kecederaan.

Sebagai pengganti, OKS akan memanggil pemain sama ada dari Kelantan ataupun Kedah bagi melengkapkan senarai 23 pemain sebelum terbang ke Bangkok pada pagi Ahad di mana skuad akan mengharungi tiga lagi aksi persahabatan di sana.

Tiga perlawanan tersebut adalah menentang Army United pada 14 Januari, disusuli Bangkok Glass pada 16 Januari dan akhir sekali Ayutthaya United pada 18 Januari.

Sebagai rekod, Kim Swee sebelum ini telah memberitahu bahawa untuk latihan pusat kali ini, beberapa pemain tonggak yang ada nama seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Haziq Nadzli dan Syahmi Safari yang sudah terbukti kemampuan mereka tidak akan disenaraikan sebaliknya dia mahu memanggil pemain-pemain baru untuk dicuba.

Pemain-pemain utama hanya akan disenaraikan sewaktu Kelayakan AFC B-23 nanti. Di pertandingan itu, skuad B-22 Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan J bersama-sama China, Laos dan Filipina. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -