Oleh Muhammad Aiman
Bekas ketua jurulatih Harimau Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee terkejut kerana masih lagi diberi kepercayaan oleh Presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk terus berkhidmat dengan badan induk itu. 
Tunku Ismail sebelum ini sudahpun banyak kali memberi bayangan akan merombak barisan kejurulatihan skuad negara sekiranya terpilih sebagai presiden dan pada Sabtu baginda mengumumkan bekas jurulatih Johor Darul Takzim, Mario Gomez sebagai pengganti Kim Swee. 
Begitupun, Kim Swee tidak ditamatkan kontrak sebaliknya beralih portfolio, kembali mengemudi skuad bawah 23 tahun negara – menggantikan Frank Bernhardt. 
“Ini satu kejutan, dalam masa sama penghargaan buat saya. Ini amanat yang sangat besar dan banyak yang perlu dilakukan. Saya telah katakan sebelum ini saya akan terima apa sahaja keputusan Presiden, saya berharap dapat berjumpa Presiden secepat mungkin, untuk memulakan langkah dan program baru. Jadual kita amat singkat tidak lama lagi Sukan Sea.
“Ini adalah kali keempat saya akan bawa pasukan Sukan Sea. Saya berjaya dapatkan pingat emas di Sukan Sea pertama, tetapi kedua dan ketiga saya gagal. Ia satu pengalaman yang baik buat saya dan peluang untuk perbaiki pencapaian itu, lebih-lebih lagi kita jadi tuan rumah,” kata Kim Swee. 
Untuk rekod, Kim Swee dilantik sebagai pengendali skuad negara pada 2015 menggantikan Dollah Salleh dan keputusan terbaru ini bermakna aksi Malaysia menentang Filipina yang berkesudahan seri tanpa jaringan pada Rabu lalu adalah perlawanan terakhir dikendalikannya.
Proses peralihan peranan di antara Gomez, Kim Swee dan Bernhardt dijangka akan diselesaikan secepat mungkin, selewat-lewatnya pada minggu depan.
- Advertisement -