Oleh Muhammad Aiman

Kuala Lumpur sekali lagi bangkit dari ketinggalan untuk melakar kemenangan kedua dalam saingan 100PLUS Liga Premier, sekaligus melonjak selaku pendahulu.

Skuad helang kota itu menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu menerusi jaringan Nicholas Alejandro pada minit ke-29 dan jaringan minit akhir Guilherme Lucrecio selepas terlebih dahulu ketinggalan kepada jaringan minit ke-19 Igor Cerina.

Kemenangan menyaksikan skuad bimbingan Wanderley Junior melonjak mengatasi pendahulu minggu pertama Negeri Sembilan dengan enam mata.

Negeri Sembilan tidak dapat meneruskan dominasi di kedudukan teratas setelah aksi mereka menentang Uitm FC ditangguhkan berikutan cuaca buruk pada Khamis.

Perlawanan lain, Angkatan Tentera Malaysia melonjak ke tangga kedua setelah mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas MISC-MIFA di Stadium USIM, Nilai.

ATM mendahului pada minit kesembilan menerusi Pavel Smolyarhenko sebelum Micheal Chukwubuna menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-40 yang kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bea Beom Geun menjaringkan gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-56 sebelum pemain veteran, Venice Elphi mengukuhkan kedudukan 3-1 menerusi jaringan minit ke-78. MIFA menjaringkan gol kedua pada minit akhir menerusi Alan Emanuel namun ianya sudah terlewat untuk menjelmakan kebangkitan.

Di Pasir Gudang, Johor Darul Takzim II mengganas apabila membelasah Perlis 4-0 dengan penyerang sensasi, Gabriel Guerra muncul wira setelah menjaringkan hatrik.

Guerra menjaringkan satu gol di separuh masa pertama (m-14) dan menambah dua lagi jaringan di babak kedua (m-51, 71) manakala Nicholas Fernandez menyumbangkan satu lagi jaringan pada minit ke-63 buat JDT II sekaligus membolehkan pasukan itu melonjak ke tangga ketiga.

Pendatang baru, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak pula membuka kempen Liga Premier mereka dengan langkah kanan setelah menundukkan Kuantan FA, 2-0. Kedua-dua jaringan PKNP yang tidak beraksi pada minggu pertama hadir menerusi pemain import, Gilberto pada minit ke-46 dan 55.   

- Advertisement -