Kuala Lumpur dan Terengganu sah layak ke saingan Liga Super musim depan setelah masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi 100PLUS Liga Premier yang berlangsung pada Selasa.
Kedua-dua pasukan memimpin carta liga dengan mengumpul 47 mata dan dengan baki hanya satu lagi perlawanan untuk diharungi, kedudukan mereka tidak mampu lagi dipintas oleh mana-mana pencabar terdekat mereka.
Untuk rekod, kali terakhir Kuala Lumpur beraksi dalam saingan Liga Super adalah pada 2012 manakala Terengganu pula kembali ke ke Liga Super selepas hanya semusim tersingkir.
Dalam aksi di Stadium Selayang, Kuala Lumpur menewaskan Sabah 2-0 menerusi dua jaringan ayam tambatan, Guilherme De Paula sekaligus mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas menerusi beza jaringan ke atas Terengganu.
Terengganu turut melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas PDRM di Stadium Hang Jebat menerusi jaringan Faiz Nasir (m-19), Tcheche Kipre (m-23) dan Issey Nakajima (m-57).
Kuala Lumpur dan Terengganu akan menentukan siapakah pemenang trofi 100PLUS Liga Premier musim ini pada hari terakhir liga 27 Oktober depan. Skuad warga kota dijadual berdepan Johor Darul Takzim II di Pasir Gudang manakala Terengganu berdepan PKNP di Ipoh.
Dalam aksi lain, Negeri Sembilan menghidupkan peluang menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menundukkan Uitm FC 1-0 di Stadium Tunku Abdul Rahman menerusi jaringan Lee Andrew Tuck pada minit ke-32.
JDT II pula memastikan Perlis terus bergelut untuk menyelamatkan diri dari tersingkir setelah mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas skuad bimbingan Syamsul Saad itu.
Nicolas Fernandez menjaringkan dua gol pada minit ke-37 dan 90 manakala Shafiq Shaharudin dan Jeronimo Barales menyumbang satu gol masing-masing pada minit ke-61 dan 71. Satu lagi gol skuad JDT II adalah menerusi jaringan sendiri Nasharizam Abd Rashid.
Kemenangan menyaksikan JDT II mengukuhkan cengkaman di kedudukan kelima dengan 38 mata manakala Perlis di kedudukan ke-10 dengan 12 mata, hanya satu mata di atas MISC-MIFA dan ATM yang berada di zon penyingkiran.
MISC-MIFA dan ATM memastikan perjuangan untuk terus kekal dalam Liga Premier terus bernyala setelah masing-masing mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Faiz Ibrahim meletakkan ATM di depan pada minit ke-59 namun Luiz Eduardo Purcino menyelamatkan satu mata buat MIFA menerusi gol penyamaan tujuh minit sebelum tamat permainan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN