kejohanan-olahraga-terbuka-malaysia

Oleh Muhammad Aiman

Meskipun jumlah penyertaan menurun 20 peratus berbanding tahun lalu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi jaminan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016 yang berlangsung bermula 30 September – 2 Oktober ini akan tetap meriah.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata tumpuan terarah kepada penyertaan jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang membawa misi memperbaharui rekod paling lama bertahan dalam arena olahraga tanah air dalam acara 200m milik Tan Sri Dr M.Jegathesan.

Rekod 20.92s dicipta Jegathesan atau ‘the flying doctor’ 48 tahun lalu ketika di Sukan Olimpik Mexico 1968 masih tidak terusik meskipun atlet kelahiran Melaka itu sendiri beberapa kali hampir melakukannya di mana dia mempunyai catatan terbaik 21.01s bagi acara itu.

Khairul Hafiz sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan acara 100m berusia 18 tahun milik Watson Nyambek di Sukan Malaysia (SUKMA) malah dalam  temasya dwitahunan itu dia meraih empat emas selain turut dinobatkan sebagai olahragawan SUKMA.

Justeru menurut Karim, “Persaingan dalam acara ini amat kompetitif kerana disertai atlet-atlet dari Kuwait, Filipina, Thailand. Bagaimanapun kita masih belum tahu siapa yang akan dihantar oleh negara-negara ini kerana mungkin ada perubahan saat akhir,” katanya.

Karim bagaimanapun mengesahkan Khairul Hafiz tidak akan bertanding dalam acara riben biru 100m menjadi tumpuan pada hari pembukaan pada Jumaat sebaliknya hanya fokus terhadap acara 200m pada hari terakhir, Ahad.   

Sementara itu, mengenai sambutan yang kurang menggalakkan baik dari atlet luar mahupun tempatan, Karim berkata, “Hanya 380 atlet termasuk dari negara luar mengambil bahagian kali ini, memang mengecewakan. Mungkin kerana Sukan Olimpik dan SUKMA sudah berakhir maka berlaku banyak perubahan melibatkan penyertaan atlet.

“Sebagai contoh, Filipina sebelum ini mahu menghantar ramai atlet namun akhirnya hanya beberapa sahaja yang mengambil bahagian. Saya juga akan mengusulkan kepada Kesatuan Olahraga Asia pada masa akan datang agar ahli gabungan mengambil serius penyertaan mereka di kejohanan dianjurkan negara-negara rantau ini.”

Tambah Karim yang merupakan Ahli Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), “Saya juga akan cadangkan agar mana-mana negara Asia yang tidak berminat menyertai mana-mana penganjuran rakan ahli gabungan mereka agar dihalang agar dihalang daripada menyertai kejohanan anjuran IAAF.”

- Advertisement -