Musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang dirumitkan oleh cabaran penganjuran pandemik akhirnya berjaya ditamatkan dengan lancar di Litar Utara Sepang minggu ini.

Meskipun empat pusingan terpaksa ditamatkan dalam jangkamasa hanya enam hari, komuniti Cub Prix tetap bersyukur diberi peluang menghabiskan musim 2020.

“Bagi pihak Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, kami ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kanan Pertahanan, serta agensi-agensi kerajaan seperti KBS, MKN dan KKM di atas kebenaran untuk menghabiskan musim 2020 ini.

“Tidak dinafi, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS antara segelintir acara sukan yang sempat menamatkan musim ini dengan begitu lancar,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

“Di samping itu, kami juga berterima kasih kepada semua penaja kejuaraan serta para penaja pasukan di atas kerjasama dan pemahaman yang diberikan dalam musim yang amat mencabar ini.

“Peluang untuk menamatkan musim 2020 ini telah melonggarkan kekangan kewangan yang mungkin dihadapi oleh semua pasukan perlumbaan sekiranya empat perlumbaan terakhir tidak dapat dianjurkan. ”

“Yang penting, pihak Cub Prix juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli komuniti Cub Prix, terutamanya pasukan-pasukan perlumbaan.

“Tidak dinafikan, perlumbaan enam hari dengan empat pusingan berturut-turut menelan kos belanja yang begitu tinggi. Namun begitu, semua pihak menghulurkan kerjasama yang begitu memberangsangkan,” tambah Ron.

Musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS ditamatkan dengan nada genting apabila buruan takhta CP150 dan CP125 hanya ditentukan pada pusingan penutup tirai.

Dalam kategori perdana CP150, pertembungan sengit di antara Mohd Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar menjadi tumpuan ramai. Helmi akhirnya menyambar gelaran juara dengan empat kemenangan daripada enam kedudukan podium musim ini.

- Advertisement -